14 May 2008

Guna bahan besi IBS atasi guna tenaga asing

KUALA LUMPUR 14 Mei Utusan Malaysia - Kementerian Kerja Raya mengalu-alukan langkah Kementerian Kewangan memansuhkan harga siling besi keluli berkuat kuasa Isnin lepas.
Kementerian itu menyifatkan pengumuman itu sebagai bertepatan dengan masanya kerana ia dapat menangani keluhan puluhan ribu kontraktor tempatan akibat kenaikan harga besi sebanyak 45 peratus daripada harga siling, sebelum dimansuhkan.
"Dengan pemansuhan harga siling tersebut, kontraktor yang sedang melaksanakan projek kerajaan secara konvensional boleh pohon pertimbangan perubahan harga pasaran besi keluli semasa," kata Menteri berkenaan Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed dalam satu kenyataan.
Mohd. Zin juga memberitahu bahawa beliau akan mengarahkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan mengumpul maklumat harga besi keluli di pasaran semasa.
Katanya, maklumat tersebut akan dijadikan asas pengiraan perubahan harga besi keluli oleh para kontraktor.
"Dengan dasar baru ini, saya menggesa pereka bentuk-pereka bentuk menimbang untuk menggunakan bahan besi dalam reka bentuk komponen- komponen Sistem Binaan Berindustri (IBS).
"Dengan penggunaan IBS, ia akan dapat mengurangkan bilangan pekerja asing di samping peningkatan kualiti, produktiviti, keselamatan dan daya saing melalui kaedah pembinaan IBS," katanya lagi.
Beliau juga menggesa pihak industri memilih kaedah IBS yang menjanjikan pelbagai kelebihan, lebih-lebih lagi dengan pembayaran perubahan harga besi keluli mengikut harga pasaran semasa.
IBS adalah teknik pembinaan alternatif yang menggunakan produk, komponen atau sistem pembinaan yang melibatkan aktiviti prafabrikasi dan pemasangan komponen-komponen binaan di tapak pembinaan, menurut Mohd. Zain lagi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...