06 November 2008

70 Peratus Projek Infrastruktur Kerajaan Guna Sistem IBS

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Sebanyak 70 peratus projek infrastruktur kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang bernilai RM9.6 bilion akan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS), kata Menteri Kerja Raya Datuk Ir. Mohd Zin Mohamed hari ini.Beliau berkata ia meliputi pelaksanaan projek pembangunan dan perumahan rakyat oleh agensi-agensi kerajaan kerana sistem itu mampu memberikan nilai tambah kepada industri pembinaan sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi negara.IBS merupakan sistem pembinaan yang menggunakan teknik, produk dan komponen yang disediakan di luar tapak, dan dipasang di tapak binaan. Ia berintensifkan teknologi mekanisme dan automasi."Sistem ini mampu menjimatkan 35 peratus daripada kos pembinaan dan menjimatkan masa pada kadar 50 peratus."Jadi saya berharap semua pihak dalam industri itu mula berpindah (kepada IBS) kerana ia akan menjadi trend dalam industri pembinaan pada masa depan," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini.Selain itu, katanya kementerian juga telah memperuntukkan RM100 juta kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk melatih 100,000 tenaga mahir dalam tempoh masa setahun selaras dengan usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing.Mohd Zin berkata mereka yang berminat akan dilatih di dalam bidang teknikal dan vokasional di enam buah akademi latihan di seluruh negara.Beliau juga mengumumkan bahawa selain Malaysia, sebanyak 10 buah negara lain di rantau ini akan berentap dalam Pertandingan Kemahiran Asean Ketujuh dari 14 hingga 16 November di Akademi Binaan Malaysia (ABM).-- BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...