06 November 2008

Guna kaedah IBS bina rumah bermutu

JOHOR BAHRU 15 Ogos - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan syarikat-syarikat pemaju hartanah supaya menggunakan kaedah Sistem Pembinaan Industri (IBS) bagi menghasilkan rumah yang boleh dibina dalam jangka masa singkat, selesa, bermutu dan murah.
Perdana Menteri berkata, melalui kaedah IBS, komponen bagi pembinaan rumah terbabit akan dibuat di kilang dan ini mampu mengurangkan kos binaan selain mengawal mutu rumah yang dibina.
“Saya mahu kaedah IBS ini digunakan agar lebih banyak rakyat mampu memiliki rumah yang boleh disediakan dalam satu jangka masa yang ditetapkan supaya pembeli tidak ternanti-nanti.
“Selain itu, pembinaan rumah dengan kaedah ini boleh dipantau bagi memastikan ia mampu disiapkan dengan sempurna,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Terbengkalai Taman Desa Rakyat Perdana di Masai dekat sini.
Terdahulu pada ucapannya, Abdullah berkata, adalah menjadi dasar kerajaan untuk memastikan setiap rakyat memiliki rumah masing-masing.
Bagi tujuan itu, katanya, kerajaan akan mencari jalan untuk membina rumah pada harga yang mampu dimiliki walaupun kos binaan kerap kali meningkat.
Sementara itu, Ka Ting dalam ucapan alu-aluannya di majlis tersebut memuji sikap Perdana Menteri yang katanya kerap kali mengingatkan beliau supaya memastikan golongan berpendapatan rendah mampu memiliki rumah.
“Pak Lah selalu memberitahu saya mengenai keperluan ini. Beliau mahu memastikan pembinaan rumah untuk golongan berpendapatan rendah mencukupi,” jelas beliau.
Projek Perumahan Taman Desa Rakyat Perdana terbengkalai selepas pemaju yang membina bagi pihak Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) gagal menyiapkannya akibat kegawatan ekonomi pada 1997.
Sumber : ARKIB Utusan Malaysia : 16/08/2006

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...