03 November 2008

Kerajaan Mahu Kurangkan 70,000 Pekerja Asing Dalam Sektor Binaan Menjelang 2015

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Kerajaan menjangka mengurangkan pergantungan ke atas 70,000 tenaga kerja asing dalam sektor binaan daripada 320,000 sekarang ini kepada 250,000 orang menjelang tahun 2015, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yeoh Khoon Seng di Parlimen hari ini.Bagi mencapai matlamat itu, katanya kerajaan telah memberi penekanan kepada modal insan bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan kaki tangan dalam sektor binaan."Kerajaan telah mengarahkan Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) untuk menyediakan peruntukan bagi melatih 100,000 pelatih dalam bidang teknikal, pengurusan dan keselamatan bagi tahun 2009," katanya.Yong berkata CIDB telah mengutip RM400.6 juta hasil levi dari nilai kontrak perumahan selama lima tahun kebelakangan ini.Katanya hasil kutipan levi itu telah dikembalikan kepada industri melalui pembiayaan program pembangunan industri pembinaan yang mampu menjana ke arah pembangunan industri pembinaan negara iaitu menerusi program pembangunan kontraktor dan sumber manusia sektor binaan, pembangunan teknologi binaan serta pembangunan persekitaran perniagaan binaan.Selain itu, beliau berkata semua pekerja binaan juga digalakkan melalui proses akreditasi oleh CIDB bagi pekerja binaan tempatan.Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat menurunkan pembayaran levi 0.25 peratus daripada jumlah kontrak kepada CIDB memandangkan keadaan industri pembinaan yang sedang merudum.Yong berkata kerajaan telah mengecualikan levi bagi kontrak perumahan kos rendah, sederhana rendah dan sederhana sejak Mei, 2003, sebagai usaha meningkatkan ekonomi negara.Katanya levi juga telah dikurangkan kepada 0.125 peratus, iaitu penurunan sebanyak 50 peratus daripada 0.25 peratus, yang dikenakan ke atas kontraktor utama yang menjalankan kerja bernilai melebihi RM500,000.Levi juga dikecualikan bagi pembinaan rumah mengunakan komponen sistem Binaan Berindustri (IBS) melebihi 50 peratus bagi projek perumahan, katanya.Menurutnya, IBS merupakan salah satu inisiatif kerajaan ke arah memajukan industri pembinaan bagi menghasilkan mutu kerja yang berkualiti, peningkatan produktiviti, tahap keselamatan di tapak pembinaan serta daya saing.Berdasarkan "IBS Roadmap 2003-2010," yang telah diluluskan, kerajaan telah menyasarkan pelbagai program ke arah mencapai objektif tersebut, yang antara lain memberikan insentif kepada kontraktor yang menggunakan IBS menerusi pengecualian levi.Katanya kerajaan juga sedang menggiatkan usaha ke arah meningkatkan penggunaan IBS dalam projek pembinaan terutamanya projek kerajaan dengan menetapkan peratus minima komponen IBS."Sebagai menyahut saranan tersebut, mulai September 2008 projek di bawah kelolaan JKR akan menguna pakai kaedah IBS dalam aspek pembinaanya."-- BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...