06 November 2008

Pelaksanaan sistem IBS kurangkan pergantungan kepada pekerja asing

USAHA kerajaan meluluskan peruntukan RM9.2 billion dikhususkan untuk mengaplikasi kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) seperti diumumkan Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed menggambarkan kerajaan serius menjadikan IBS sebagai komponen utama projek pembinaan. Konsep IBS ini membabitkan komponen binaan siap disediakan di kilang dan dibawa ke tapak binaan untuk dipasang, dijangka mampu menukar persepsi masyarakat terhadap sektor binaan yang sering dilihat sebagai industri cemar, bahaya dan sukar walaupun persepsi ini sebenarnya tidak terkecuali juga kepada kebanyakan sektor lain. Penggunaan IBS juga jika dipraktikkan secara menyeluruh, dipercayai mampu mengurangkan penggunaan tenaga manusia, sekali gus mampu mengatasi kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing.
Namun, hakikat bentuk projek yang pelbagai dari segi saiz, bermula dari kerja kecil kepada projek yang pelbagai reka bentuk ketika ini, ia dilihat masih tidak mampu diaplikasikan kepada semua pelaksanaan projek, terutama projek pengubahsuaian. Kontraktor binaan terutama bersaiz kecil berasakan konsep IBS masih terlalu asing kepada mereka kerana kurang pendedahan dan pengetahuan. Tambahan pula, buat masa ini rata-rata projek yang dilaksanakan di peringkat daerah, konsep IBS belum menjadi pendekatan mesra, sama ada dari segi reka bentuk, kaedah pembinaan atau untuk mendapatkan sumber bekalan mengikut kesesuaian. Kecuali ada faktor penarik berupa insentif berterusan kepada kontraktor yang serius menjadikan konsep IBS sebagai amalan kerja mereka, usaha menggunakan konsep IBS ini diragui berjaya.

Justeru, dicadangkan perkara berikut yang difikirkan mampu menjadi faktor penarik kepada penggunaan IBS di sektor binaan ini; l Pusat penyediaan sumber bekalan ke atas komponen binaan diwujudkan di setiap negeri atau daerah bagi memudahkan kontraktor mendapatkan bekalan. Insentif bersesuaian hendaklah diberikan kepada pembekal persendirian yang sanggup mendirikan kilang bagi mengeluarkan komponen berkaitan. Mewujudkan lebih banyak 'Kontraktor Pemasang' bagi menjayakan konsep IBS pada pelbagai peringkat kelas dan gred kontraktor di setiap negeri dan daerah. Bagi memastikan tenaga kerja tempatan digunakan secara optimum, 'Kontraktor Pemasang' hendaklah diwajibkan hanya menggunakan pekerja tempatan yang dilatih di institusi latihan tajaan kerajaan.

l Bagi menggalakkan lagi penggunaan IBS, kerajaan harus menyediakan insentif sewajarnya kepada kontraktor yang diambil untuk menjadi 'Kontraktor Pemasang'. Setiap 'kontraktor pemasang' yang diiktiraf hendaklah dikategorikan sebagai 'Kontraktor Istimewa' yang melayakkan mereka memperoleh insentif dengan diberi keutamaan untuk mendapat projek kerajaan secara berterusan yang dilaksanakan di setiap daerah. l 'Kontraktor Istimewa' turut dibenarkan melaksanakan projek melebihi nilai dibenarkan mengikut kelas atau gred kontraktor. l Cadangan supaya setiap projek mesti mempunyai 70 peratus komponen berkonsepkan IBS dimulakan dengan projek kerajaan. l Promosi berterusan di setiap negeri atau daerah hendaklah dilaksanakan dalam bentuk taklimat atau seminar ke arah pembudayaan konsep IBS di sektor binaan. Galeri IBS hendaklah diwujudkan di setiap negeri. l Menganjurkan pertandingan reka bentuk bangunan berkonsepkan IBS tercantik peringkat negeri. l Berusaha untuk menerapkan konsep IBS ini dalam kurikulum di setiap institusi latihan kemahiran tajaan kerajaan yang wujud di negara ini. Apa yang penting, dengan mengaplikasikan IBS ini, ia bukan sekadar mengurangkan penggunaan tenaga kerja manusia, tetapi hendaklah memastikan tenaga kerja tersebut terdiri dari kalangan belia-belia yang telah dilatih di institusi latihan kemahiran.
ZAKARIA MOHD YUSOF, Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina UTM, Skudai, Johor.
Sumber : Berita Harian - Surat

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...