06 November 2008

Pengecualian levi CIDB melalui IBS

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memberikan pengecualian levi bangunan sepenuhnya kepada pemaju perumahan yang menggunakan 50 peratus Sistem Binaan Berindustri (IBS), mulai bulan ini.
Pengecualian itu meliputi projek perumahan kos rendah, kos sederhana rendah, kos sederhana dan projek perumahan berharga kurang daripada RM500,000 yang sememangnya telah menikmati pengecualian levi.
Ketua Eksekutif CIDB, Dato Ir. Hamzah Hasan berkata, inisiatif itu adalah selaras dengan dasar kerajaan dalam memodenkan industri pembinaan Malaysia, yang mana sektor pembinaan di Malaysia ini terlalu bergantung kepada buruh asing.
``Pengecualian levi ini merupakan satu daripada aktiviti yang terkandung dalam Pelan IBS untuk jangka masa lima tahun akan datang bagi memodenkan sistem pembinaan, meningkatkan kualiti, mengurangkan pembaziran bahan binaan dan masalah sosial yang berpunca daripada pekerja asing disini,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
CIDB, ujar beliau, membuat inisiatif itu berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai pemberian insentif kepada pemaju perumahan dalam pengecualian levi bangunan sekiranya mereka menggunakan sekurang-kurangnya 50 peratus sistem itu semasa pembentangan Bajet 2005 pada bulan September lalu.
Perdana Menteri menyatakan, semua projek bangunan kerajaan akan menggunakan sekurang-kurangnya 50 peratus sistem tersebut mulai tahun ini.
Ir. Hamzah berkata, CIDB juga telah membangunkan sistem pengiraan kandungan IBS (IBS Score), dengan inputnya diperoleh daripada sektor industri.
``IBS telah digunakan secara meluas oleh negara-negara maju dengan struktur bahan binaan ini dibina terlebih dahulu, sama ada di kilang atau di tapak binaan yang proses pemasangannya adalah minimum,'' ujar beliau.
Sumber : ARKIB Utusan Malaysia : 08/01/2005

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...