30 October 2008

Yang Seringkali Ditanya (FAQs) Mengenai Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Kordinasi Modular (MC)

Apakah IBS?
Sistem Binaan Berindustri (IBS) juga dikenali sebagai pembinaan pasang siap: sistem pembinaan di mana
komponen diperbuat di kilang, di tapak atau di luar tapak, diangkut dan kemudian dipasang menjadi
sebuah struktur dengan kerja yang minimum. Lima jenis IBS yang biasa digunakan di Malaysia adalah
sistem kerangka panel dan kekotak konkrit pratuang, sistem kerangka keluli, sistem kerangka kayu prasiap,
sistem acuan keluli serta sistem blok pratuang.

Apakah Manfaat Menggunakan IBS?
Manfaat utama yang diperolehi melalui penggunaan sistem ini adalah seperti berikut:
• Produk yang berkualiti tinggi dan pembaziran yang minimum kerana persekitaran kerja di kilang lebih
mudah dikawal;
• Penghapusan acuan kayu konvensional dan pengurangan ketara penggunaan penyangga melalui penggunaan elemen pasang siap atau sistem acuan bagi proses tuangan di tapak;
• Platform kerja yang teguh dan selamat dihasil melalui elemen pasang siap; • Penyiapan yang lebih cepat berikutan pengenalan komponen yang menggantikan pembinaan insitu;
• Tapak pembinaan lebih teratur, bersih dan selamat berikutan pengurangan sampah binaan, pekerja dan bahan binaan ditajak;
• Jumlah kos pembinaan yang lebih rendah berikutan manfaat yang dicapai daripada faktor-faktor di atas.

Poster Promosi IBS sering menyatakan bahawa penggunaan kaedah IBS dapat mengurangkan kos projek. Tetapi melalui pengalaman saya, tidak. Sila ulas.
Jika anda membandingkan hanya kos bahan sahaja, memang benar komponen IBS adalah lebih tinggi berbanding kos in-situ. Pengilang IBS perlu membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk mendirikan kilang dan dengan demikian perlu menyerapkan kos pelaburannya ke dalam harga produk IBS. Walau bagaimanapun, sama seperti produk pengguna lain, kita memang perlu membayar harga yang lebih tinggi untuk mendapatkan jenama bertaraf premium. Dalam pembinaan, IBS adalah sebuah jenama premium kerana ia menawarkan kualiti, produktiviti dan tahap keselamatan yang lebih terjamin. Oleh itu sudah semesti harganya lebih tinggi sedikit. Di samping itu, kita perlu melihat kepada manfaat di dalam penggunaan kaedah IBS. Dengan penggunaan kaedah IBS, ia memberi kualiti yang lebih baik maka kos kerja pembaikpulih dapat dikurangkan. Masa membina yang lebih pendek juga bermakna pulangan daripada pelaburan (ROI) boleh dicapai dengan lebih pantas. Bagi pembeli rumah, ia bermakna mereka boleh mengelak daripada membayar lebih banyak faedah kepada bank. Bagi para pemilik kilang atau pejabat pula, mereka boleh memulakan operasi dengan lebih cepat. Jika dilihat dari sudut yang lebih luas lagi, bayangkan betapa Kerajaan boleh menjimatkan wang berbilion Ringgit dengan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing dan pengaliran keluar matawang Ringgit ke negara luar.

Saya Tidak Yakin Terhadap Prestasi Struktur Bangunan Yang Dibina Menggunakan Kaedah IBS. Adakah Bangunan Tersebut Seteguh Struktur Binaan Konvensional? Saya Juga Masih Ragu Cara Pembinaan Ini Boleh Menjamin Tiada Kebocoran.
IBS hanya merupakan kaedah pembinaan sahaja. Rekabentuk sebenarnya menentukan keteguhannya, sama seperti struktur konvensional. Perbezaannya adalah struktur IBS memerlukan pengiraan tambahan bagi peringkat pembinaan. Bangunan yang dibina menggunakan kaedah IBS juga mempunyai prestasi struktur yang serupa seperti keteguhan bangunan yang dibina mengikut kaedah tuang-in-situ. Perincian keluli pada sambungan IBS juga merujuk kepada asas yang sama seperti yang ditetapkan dalam kod rekabentuk. Sebagai contoh, Papak Separuh konkrit pratuang 65mm dengan tuangan tambahan konkrit in-situ 75mmakan mempunyai keteguhan struktur yang sama dengan papak konkrit tuang-in-situ 140mm selagi ia direkabentuk dengan kod rekabentuk dan menggunakan beban dan bahan yang sama. Beberapa bangunan IBS yang terawal dibina di Malaysia mungkin pernah menggunakan sambungan kering yang berkecenderungan untuk bocor dengan mudah berbanding sambungan. Walau bagaimanapun, kebocoran sebenarnya tiada kaitan dengan sistem IBS, tetapi sebaliknya adalah berkaitan dengan hasil kerja yang tidak memuaskan. Tanpa melakukan kerja konkrit dan kerja kalis air dengan sempurna, pembinaan tuang-in-situ juga boleh berlaku kebocoran. Sungguhpun diperbuat dengan tahap kualiti paling tinggi, komponen Completely Knocked Down (CKD) kereta Mercedes Benz sekalipun akan mengalami kegagalan sekiranya kerja pemasangan tidak dilakukan mengikut prosedur yang betul;

Apakah Kordinasi Modular? Adakah Ia Merupakan Satu Lagi Teknik Pembinaan?
Kordinasi Modular atau MC adalah sebuah sistem dimensi. Ia merupakan konsep koordinasi dimensi dan ruang di mana bangunan dan komponen di letakkan kedudukannya berasaskan kepada unit atau modul asas dikenali sebagai‘1M’ yang bersamaan dengan 100mm. Sebagai contoh, daripada menggunakan ukuran 2413mm, yang lebih sukar diukur, ia akan digenapkan kepada 2400mm. Penggunaan MC adalah satu faktor penting dalam aplikasi IBS secara berkesan kerana ia melengkapkan pengindustrian melalui pempiawaian dan peningkatan produktiviti.

Adakah Kita Mempunyai Standard Malaysia (MS) Bagi MC Dan Di Mana Saya Boleh Dapatkannya?
MS bagi MC dipanggil MS 1064 (Panduan Kepada Koordinasi Modular dalam Bangunan). Ia mengandungi 10 bahagian dan berasaskan kepada standard ISO yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Anda boleh membelinya daripada SIRIM Berhad, ejen yang dilantik oleh Jabatan Standard Malaysia (DSM) untuk membangun, mengedar dan menjual Standard Malaysia.

Adakah Benar Bahawa Dengan Menggunakan MC, Kita Menghadkan Bangunan Kepada Bentuk Empat Persegi Sahaja?
Tidak benar sama sekali. Ia bergantung kepada daya kreativiti dan pilihan perekabentuk. Rekabentuk kuarters JKR yang dibina menggunakan ukuran MC dan kaedah IBS adalah buktinya. Begitu juga dengan beberapa rekabentuk bangunan lain yang dibina di negara maju seperti Perancis, Singapura, Denmark dan Finland; Sebenarnya, kebanyakan bangunan awal yang dibina menggunakan MC dan IBS adalah bangunan yang dibina sekitar tahun 1960an, berikutan program pembangunan semula selepas zaman perang yang dilakukan dengan pesat. Pada masa itu, rekabentuk seni bina minimalis menjadi pilihan; dan dengan demikian wujudlah banyak bangunan berbentuk empat persegi dan fasad yang minimal.

Bagaimana MC Digunakan Bagi Rekabentuk Rumah Teres? Ini Kerana Tapak Tanah Telah Dibahagikan Kepada Bahagian Yang Lebih Kecil Berasaskan Kepada Ukuran Imperial.
Di samping menggalakkan penstandardan dan produktiviti, MC telah dibangunkan oleh ISO bagi mempermudah penukaran dimensi Imperial kepada Metrik. Panduan bagi penggunaan MC di tapak yang dibahagikan kepada beberapa tapak kecil disediakan dalam “Modular Coordination Notes; Implikasi Koordinasi Modular Dalam Undang-undang dan Peraturan Bangunan” dan “Modular Design Guide”. Features

Adakah Sebarang Latihan Mengenai IBS dan MC Disediakan?
Ya, kami mempunyai sesi latihan secara kerap untuk rekabentuk konkrit pratuang serta MC. Kami juga merancang untuk memulakan kursus rekabentuk keluli. Sila hubungi kami melalui e-mel di ibs@cidb.gov.my bagi mendapatkan maklumat terkini.

Saya Dengar Dalam Ucapan Bajet 2005, Projek Perumahan IBS Dikecualikan Daripada Membayar Levi CIDB. Adakah Fakta Ini Benar?
Projek perumahan dengan kandungan IBS (IBS Score) yang minimum iaitu sebanyak 50% akan diberi pengecualian oleh CIDB daripada membayar levi. Panduan bagi pengiraan IBS Score disediakan dalam penerbitan: Manual for IBS Content Scoring System (IBS Score). Sila hubungi Unit Levi di talian 03-2617
0200 bagi mendapatkan keterangan lanjut mengenai permintaan untuk mendapatkan pengecualian levi.

Di Manakah Saya Boleh Mendapatkan Bahan Rujukan Mengenai IBS dan MC?
Kami menawarkan pelbagai jenis penerbitan mengenai IBS dan MC. Ini termasuk Standard Industri Pembinaan,
katalog produk, manual dan prosiding.Anda boleh membelinya dari semua Pejabat CIDB Negeri atau Wilayah serta dari kaunter di Tingkat 7, Ibu Pejabat CIDB di Kuala Lumpur. Beberapa penerbitan lain juga tersedia untuk dimuat turun secara percuma daripada laman web kami di: www.cidb.gov.my

Ir. Shahrul Nizar Shaari
Pengurus, Bahagian Pembangunan
Teknologi, CIDB Malaysia.

Sumber : http://www.cidb.gov.my/cidbweb/information/publ/IBS%20Digest%202005%20-%203.pdf

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...