24 January 2009

100,000 pekerja mahir guna IBS

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Kerajaan menyasarkan untuk melatih 100,000 tenaga mahir sepanjang tahun ini menerusi dasar menggalakkan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalam sektor pembinaan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, usaha itu selari dengan hasrat kerajaan mengurangkan jumlah pekerja asing kepada 250,000 menjelang 2015.
Katanya, penggunaan IBS atau kaedah pasang siap tidak memerlukan tenaga buruh yang ramai, sebaliknya melibatkan tenaga kerja mahir dan separuh mahir.
"Setakat ini, kerajaan meluluskan 404 projek yang menggunakan IBS dengan kos RM9.4 bilion.
"Selain itu, sistem yang menggunakan IBS iaitu pemasangan di tapak binaan, komponen pra-tuang serta pra-fabrikasi didapati lebih menjimatkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penggiat Industri Pembinaan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.
Mohd. Zin menambah, kerajaan berharap pelaksanaan dasar menggalakkan IBS dalam sektor binaan akan benar-benar berjaya mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.
Ini kerana, katanya, selain ia mengurangkan kos dan mempercepatkan tempoh pembinaan, sistem itu tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai.
"Diharap langkah memperluaskan IBS lama-kelamaan akan mencapai matlamat sifar pekerja asing dalam sektor pembinaan," ujarnya.
Utusan Online 24 Januari 2009

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...