24 January 2009

Sistem Binaan Berindustri diperluas


NAJIB Tun Razak mencuba mesin konkrit berbuih diperhatikan Ir. Mohd. Zain Mohamad dan Goh Chua Woo (kiri sekali) di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang terbukti mampu menjimatkan kos dan memendekkan tempoh binaan akan diperluaskan. Ini termasuk mewajibkannya dalam semua projek kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan memutuskan untuk menerima pakai IBS secara meluas.
Sehingga 8 Januari lalu, 303 projek kerajaan bernilai RM9.2 bilion menggunakan sistem itu.
Menurutnya, Surat Pekeliling Bilangan 7/2008 yang diedarkan sebelum ini mewajibkan penggunaan 70 peratus kandungan IBS dalam semua projek kerajaan.
"Saya percaya industri binaan akan mula menampakkan kesan menggunakan IBS dalam jangka masa terdekat," katanya kepada pemberita sempena Pameran Antarabangsa IBS Malaysia di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di sini hari ini.
IBS merupakan sistem binaan menggunakan teknik, produk dan komponen yang disediakan di luar tapak dan dipasang di tapak binaan. Ia berintensifkan teknologi mekanisme dan automasi.
Menurut Najib, projek sebuah sekolah berasrama penuh bakal dicuba pembinaannya melalui kaedah IBS. Anggaran kos tidak termasuk tapak dan infrastruktur yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya ialah RM6 juta hingga RM10 juta.
Beliau berkata, industri pembinaan penting kepada pembangunan negara dan penggunaan IBS amat besar faedahnya serta menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi.
"Saya percaya industri pembinaan akan mendapat manfaat besar jika industri itu menerima faedah hasil dari pakej rangsangan kedua kelak berikutan pengenalan IBS di dalam sektor tersebut," katanya.
Dalam perkembangan lain, Najib memberitahu, Kabinet akan mengkaji dan menentukan mengenai liberalisasi sektor perkhidmatan mengambil kira pelbagai faktor sebelum ia dipersetujui.
Katanya, mesyuarat mengenai isu itu dijadualkan berlangsung tidak lama lagi. Ia membabitkan beberapa kementerian.
"Kita akan mempertimbangkan banyak faktor kerana ia memberi kesan kepada sektor perkhidmatan di negara ini. Kerajaan juga akan melihat apa yang negara lain tawarkan," katanya.

Oleh WAN NAJIB WAN DAUD
pengarang@utusangroup.com.my
Utusan Online 24 Januari 2009

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...