30 September 2011

Abang, tunggu mak di syurga ya ..

.:. Kali aku nak share dengan satu kisah benar menyayat hati yang melambangkan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya. Kisah ini didapati dari emel .:.


Mak pandang jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut membu...sung, namun mak nampak ketenangan pada wajah abang.

Mak ambil pisau. Mak potong baju-T yang tersarung pada tubuh abang, baju terkahir yang abang pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju itu tidak muat untuk melalui perut abang yang 'buncit'.


Tapi, mak akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium baju itu, sekadar pengubat rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh abang ke pangkin yang telah disediakan. Lalu abah dan mak mendikan jenazah abang. Hanya kami berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan abah dan mak yang menjiruskanair buat kali terakhir pada tubuh kecil abang.

Mak nampak anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua air matanya tumpah, mengalir di pipi, tapi cepat-cepat abah sapu dengan lengan sasanya.

"Bang, jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terkahir," begitulah kata mak pada abah.

Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang. Pun hanya kami berdua juga. biar tangan kami saja yang memakai dan membalutkan kain terakhir pada tubuh abang.

"Kakak, jangan menangis. tak baik buat abang macam tu!"

Itu pesan mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat kali terakhir. Abah pula selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah menjauh memalingkan muka.

Mak nampak air mata abah berjuntaian membasahi pipi. Dan buat kali terakhir itu juga, mak usap dahi abang. Mak senyum, lantas kucup dahi abang.

Mak bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!"

Akhirnya, wajah abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang buat kali terakhir. Ramai betul jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa abang ke tanah perkuburan.

Abah masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah abang. Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan. Abang sudah selamat di sana.

Bertubi-tubi mak terima ucapan takziah daripada tetamu yang datang. Abang nak tahu, ada satu soalan yang mereka tanyakan pada mak.

Soalan itu asyik terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya mereka: "Kakak uruskan jenazah anak kandung sendiri, tapi setitis air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa kakak tidak menangis?" Itulah soalan mereka.

Mereka hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak tidak lekang dengan senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku sekujur tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu? Empat tahun dua bulan mak membesarkan Abang. Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya. Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan derita Abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir. Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum Abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak cari-cari. Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak menangis?

Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak menangis, sayang.

Januari 2011- Perut Abang semakin membusung kerana hati membengkak. kata doktor, semua organ dalaman Abang sudah rosak, sudah 'reput'. Tidak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan untuk Abang.

26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah! Hah Hah.. Tergelak mak. Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah, Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur , tetapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam yang Abang minta. Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan Abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai pengganti. Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas, Abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang, sama-sama menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak sudah terdetik, mungkin ini hari jadi abang yang terakhir.



7 Mac 2011- Keadaan abang semakin kritikal. Perut abang semakin membesar. Abang tidak mampu untuk bergerak dan lebih banyak terbaring serta asyik sesak nafas. Mak semakin tidak tahan melihatkan keadaan Abang sebegini rupa. Mak bawa Abang ke IJN, rumah 'kedua' abang sepanjang tempoh hayat Abang. Kata doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Abang hanya menanti waktu. mak angguk perlahan-lahan. Mak redha dengan ketentuan ilahi. Dalam hati mak juga terdetik, masa Abang sudah tidak lama lagi. Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana dengan keadaan Abang? Mak cuma mampu untuk jawab, "InsyaAllah, Abang akan sihat!" Mak terpaksa cakap begitu pada mereka, sebab mak tidak mahu mereka semua lemah semangat jika mereka tahu Abang sudah tiada harapan lagi. Mereka pun sedang bertarung dengan ujian Allah apabila anak-anak yang dikasihi ditimpa penyakit. jadi biarlah jawapan yang mak beri itu kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri yang telan.

13 Mac 2011- Hari ini merupakan hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk bawa Abang pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah Abang habiskan waktu-waktu terakhir bersama keluarga. Dan disaat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan apa saja permintaan Abang. Di rumah, setiap hari mak akan tanya, "Abang nak apa harini?"

Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab, "Mak, Abang nak naik kereta bomba!"

Mak termenung dengar permintaan Abang. Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana?

Mak jawab, "Balai bomba!"

Sampai di situ, mak meminta izin daripada pegawai bomba. Mak kata padanya, Abang teringin sangat nak merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu cuma garu-garu kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala. Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju Abang ke paras dada.

Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu, "Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk 'pergi'! Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!" Bila lihat perut Abang yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu tidak tunggu lama. Terus dicapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba itu. Lantas dia terus dukung Abang dan letakkan Abang ke atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembira sangat biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak itu. Tetapi Abang tidak perasan, ketika itu mak palingkan muka selama lima saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yang mula bertakung.

Hari lain, mak tanya lagi pada abang, "Abang nak apa?"

Abang pun jawab: "Abang nak naik lori sampah!" Mak dukung Abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.

"Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?" Pekerja itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju Abang dan beritahu perkara sama. Terus berubah mimik wajah mereka. Segera mereka angkat Abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yang memalingkan muka, tak sangup untuk melihat Abang lama-lama. Sedih agaknya. Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan yang sama. Kalau Abang nak tengok gajah, mak akan bawa Abang pergi zoo. Walaupun abang tak larat jalan, tak apa.

Mak dan abah tidak kisah, kami silih berganti dukung Abang. Abang pinta nak tengok burung, mak bawa Abang ke taman burung. Abang nak main permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana saja Abang nak pergi dan apa sahaja yang Abang inginkan, semuanya mak tunaikan! Setiap hari juga mak tanya Abang nak makan apa. Macam-macam Abang teringin nak makan. Murtabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu, air bandung , rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikan walaupun makanan itu Abang pinta pada pukul 3.00 pagi.

Mak tahu dan faham, masa Abang bersama mak dan abah semakin suntuk!

27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Abang sudah tidak mampu untuk berkata-kata, apatah lagi untuk bergerak seperti biasa. Mata Abang kuyu dan Abang hanya mampu terbaring sambil memeluk Aina, anak patung kesayangan Abang. Mak segera pinta abah bawa Abang ke hospital.

"Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!" Itulah kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas untuk pesakit kritikal.

5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama Kakak sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan Kakak pulang.

"Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di sampingnya pada saat terakhir!" Mak pinta pada cikgu dan Kakak diizinkan pulang. Kemudian, Dr. Adura, doktor yang sinonim merawat abang juga datang melawat. Ketika itu mak ceritakan yang mak terkilan sangat tidak dapat tunaikan permintaan Abang yang mahukan kek berbentuk lori sampah.

7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat Abang lagi. Kemudian Dr. Adura beritahu ada surprise untuk Abang tengah hari ini. Rupa-rupanya, tengah hari itu tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura datang membawa kek lori sampah yang Abang mahukan sebelum ini. Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sangka, Dr Adura rajin menulis mengenai kisah abang didalam blognya dan ramai yang menawarkan diri untuk menyediakan kek yang abang pinta. Para tetamu bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk Abang. Tetapi abang kurang ceria, wajah Abang tampak letih dan nafas abang turun naik.

8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu datang membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang. Tetapi abang sangat lemah. Abang sekadar terbaring merenung kek itu. Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah Abang, bacaanya meningkat naik. Tetapi hati mak dapat merasakan yang Abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dengan Abang berada di dalam bilik. Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan pucat. Mak duduk di sebelah Abang, mak peluk dan usap rambut Abang. Mak menangis teresak-esak bagai anak kecil.

Dalam tangis itu, mak katakan pada Abang, "Mak tahu Abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu Abang nak pergi. Jangan tahan-tahan Abang. Pergilah menghadap Ilahi. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa sahaja hajat yang Abang pinta. Mak juga bangga kerana Allah hadirkan Abang dalam hidup mak walaupun seketika."

Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Mak juga berjanji bahwa mak tidak akan menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di dunia.

9 April 2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua anak-anak datang ke hospital. Masa Abang dah dekat sangat. Mak lihat Abang sudah kritikal. Wajah Abang sudah tampak biru, lebam! Dada Abang berombak, tercungap-cungap menarik nafas.

Abang sudah tidak mahu makan dan minum lagi sejak malam tadi. Pukul 8.00 pagi, abah dan kakak-kakak sampai. Mak suruh Kak Long bacakan Yaasin di sebelah Abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya.

Pukul 3.00 petang, Abang semakin lesu. Lantas mak ajak Abang keluar berjalan-jalan.

"Abang, abang nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!"

Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung Abang dan kita satu keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi Abang hanya minum seteguk. Kemudian, Abang lentukkan kepala pada bahu mak.

"Abang, tu tengok kat luar tu? nampak tak sinar matahari tu? Cantikkan?" Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu. Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang menguap.

"Abang ngantuk!" Itu kata Abang dan kemudian abang terlentuk semula pada bahu mak. Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang. "Bang, jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak terus ajak abah dan kakak-kakak naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja.

Sampai sahaja di wad, mak terus baringkan Abang di atas katil.

Dan Abang terus merintih dalam nada yang lemah, "Makkk..sakit perut..!"

Suara Abang amat perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi Abang.

"Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan Abang pergi. Mak halalkan segala makan minum Abang. Mak halalkan air susu mak untuk Abang. Pergilah Abang. Mak izinkan Abang pergi!" Mak ucapkan kata-kata itu sambil merenung jauh ke dalam mata Abang yang semakin kuyu. Saat Abang sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup Abang selagi Abang masih bernafas. Mereka kucup pipi Abang bertalu-talu dan mula meraung dan menangis.

"Kakak! kalau kamu semua nak menangis, keluar dari bilik ini. Mak tak mahu Abang dengar kamu menangis! Jangan seksa Abang dengan tangisan kamu semua!" Mak marah mereka. Mak tidak mahu Abang lihat kami menangisi pemergian Abang. Mak tahu, Abang akan jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir sakaratulmaut menjemput Abang. Mak tidak mahu tambahkan lagi kesedihan Abang untuk meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya. Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu ada orang menangis di saat Abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.

"Pergilah Abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah.."

Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat, genggaman tangan Abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas...

Pukul 3.50 petang, akhirnya Abang meninggalkan dunia fana ini. Innalillahiwainnailahirajiun.

Mak kucup dahi Abang. Mak bisikkan di telinga Abang, "Tenanglah Abang di sana . Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak Abang. Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!"

Abang, sekarang mak sudah dapat jawapanya. Mengapa mak tidak menangis? Pertama, Abang telah di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan membantu mak di sana nanti. Kedua, apa saja keinginan Abang semasa hayat abang telah mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak. Ketiga, segala hutang sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat Abang. Mak telah sunatkan dan buat akikah untuk Abang. Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada di sisi Abang dan menggembirakan Abang setiap saat dan waktu. Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti Abang. Mak jadi 'kaya' dengan kehadiran Abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya keredhaan , kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan. Mak telah beri segalan-galanya melebihi seratus peratus untuk Abang. Mak telah beri yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu mak tidak perlu menangis lagi.

Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi dan kosong tanpa Abang tapi... mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat terindah kehadiran Abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar. Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan saluran sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal usia dua bulan dan ada antara pembedahannya yang gagal, malah abang pernah disahkan 'mati' apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor mengjangkakan hayat abang tidak lama selepas lahir ke dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan (bapa).

Al-Fatihah buat Allahyarham adik Iqbal Fahreen.

CHEF WAN ... baik nyer kutuk ..



Sumber : http://falihinjasmy.blogspot.com

.:. Lain orang lain pendapat .:.

Tanda-Tanda Berbohong ..


Bagaimana nak mengenali samada anda sedang dibohong? Tidak kira lelaki atau wanita, kalau dah kaki pembohong tu kawan baik pun digulainya hidup-hidup. Di bawah adalah tip-tip cara mengenali seseorang itu sedang berbohong..

Menyentuh hidung
Apabila seseorang itu berbohong, tisu-tisu erektil pada hidungnya akan dipenuhi darah menyebabkan ianya membesar. Fenomena ini juga dikenali sebagai kesan pinocchio. Jadi, apabila si dia bercakap dengan anda dan kerap menyentuh hidung yang tidak gatal, sebenarnya ada sesuatu yang diselindungkannya.

Menutup mulut
Ada sesetengah orang meletakkan tangan di atas mulut mereka apabila berbohong. Ini merupakan satu tindak balas automatik yang lahir dari segi psikologi kerana dari kecil lagi sudah dididik untuk tidak berbohong. Apabila mulut mengeluarkan kata-kata dusta, tangan cuba menghalangnya.

Gagap
Apabila seseorang yang bercakap lancar dan licin tiba-tiba gagap merupakan tanda-tanda sedang mengalami tekanan emosi. Sekiranya tiada apa-apa petunjuk bahawa tekanan ini disebabkan perkara lain seperti sedih, pilu, marah dan sebagainya, kemungkinan besar orang tersebut berbohong. Jadi, jika anda bertanya pada teman lelaki/suami anda dan sidia gagap untuk menjawabnya, maka anda tahu membuat kesimpulan atas tindakannya itu.

Pergerakan mata
Orang yang berbohong akan cuba meyakinkan pendengarnya dengan memandang tepat pada mata mangsa. Oleh itu,sekiranya kelipan mata berkurangan dari kadar biasa, ini mungkin tanda berbohong. Sebaliknya, ada juga keadaan dimana sekiranya mata seseorang itu tiba-tiba berkedip dengan banyaknya, ini merupakan tanda-tanda tekanan perasaan yang berkemungkinan disebabkan berbohong juga. Kerlipan mata yang normal sahaja menunjukkan dirinya tidak berbohong.

Melengah-lengahkan jawapan
Orang yang berbohong perlu berfikir sebentar untuk mereka cipta pembohongannya. Berfikir terlalu lama, berdehem, batuk dan sebagainya merupakan tanda-tanda bahawa orang tersebut mungkin berdusta.

Resah
Orang yang berdusta kerap gelisah dan mengubah-ubah posturnya. Apabila seseorang yang dalam keadaan tenang tiba-tiba sahaja menjadi resah dan tidak senang duduk apabila berhadapan dengan sesuatu soalan, ini berkemungkinan merupakan bahawa seseorang itu sedang berbohong.

Kesimpulannya, sekiranya kita ingin mengesan sama ada seseorang itu berbohong, kita perlu sentiasa memerhatikan air muka dan gerak badannya dengan teliti. Body language sudah boleh menunjukkan sama ada dirinya berbohong atau tidak. Sebarang perubahan dari keadaan normal mungkin merupakan tanda orang tersebut berbohong.

Sumber : http://www.rileks.info

.:. Hmmmm ... .:.

Tips Mengurangkan Stress ..


Kita adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah, namun kita masih tidak terlepas daripada menghadapi tekanan ketika bekerja. Pelbagai tekanan yang dihadapi menyebabkan hati menjadi runsing dan semua kerja tidak akan terlaksana. Tidak mustahil bagi individu yang berhadapan dengan masalah ini akan terbawa-bawa ke rumah hingga anak-anak pula menjadi mangsa. Namun, hati akan menjadi tenang sekiranya kita kembali kepada Allah. Apa jua yang dilakukan mestilah berdasarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah disertai dengan niat yang ikhlas semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.

Terdapat beberapa tips yang kita boleh amalkan bertujuan mengurangkan tekanan hidup. Antaranya ialah :

1) Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah diingati.

2) Perbanyakkan membaca Al-Qur’an
Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman paling akrab pada sepanjang waktu.

3) Banyakkan Solat Sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.

4) Selalu berdoa kepada Allah
Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.

5) Bersangka baik dengan Allah
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah yang Berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba Allah. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan- Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.

6) Lakukan kegiatan luar seperti bersukan
Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.

7) Amal diet dengan disiplin yang kuat
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.

8.) Menangis dengan sepuas hati
Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana. “Luaran lain hati lain” ada sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Sebagai contoh, bila dilihat bersama rakan-rakan tetapi dalam hatinya hanya Allah yang Maha mengurangkan tekanan yang dihadapi di tempat kerja.

9) Hargai kebolehan diri sendiri
Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.

10) Cintai diri sendiri
“Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain”. Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman. Kesimpulan Sebagai kesimpulannya, tekanan kerja bukanlah satu bebanan yang sukar untuk diatasi. Dengan usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi serta jalan penyelesaian yang jitu, bebanan yang kita alami pastinya akan dapat diselesaikan dengan jayanya.

Sumber : http://www.rileks.info

Stress bekerja ..


Bukannya berat bebanan yang membuatkan kita stress tapi, dalam tempoh yang lama menanggung bebanan tersebut. Menurut seorang ilmuan (Stephen Covey) ketika memberikan kuliah mengenai Pengurusan Stress, beliau telah mengangkat sebuah gelas yang kuantiti airnya hampir separuh daripada gelas itu dan bertanya kepada pelajarnya berapakah bebanan gelas tersebut. Siswa/i menganggarkan antara 200-500ml.

Walau bagaimanapun, Stephen menerangkan masalah tersebut bukanlah datang daripada kuantiti air tersebut. Tetapi selama mana gelas itu dipegang. Beliau menambah lagi, sekiranya gelas itu hanya dipegang selama seminit ianya mungkin tidak memberikan kesan yang memudaratkan, bayangkan gelas itu dipegang selama 1 jam. Mungkin pelajar tidak mampu lagi menahan bebanan tersebut. Dan sekiranya gelas itu dipegang selama sehari, mungkin pelajar akan dibawa ke hospital.

Bebanan tersebut akan bertambah atau meningkat bebannya. Cara terbaik yang perlu dilakukan ialah dengan meletakkannya seketika, kerana semakin lama, bebanan semakin meningkat. Dengan itu, kita perlu merehatkan diri sebelum mengangkat bebanan itu semula.

So, moral of the story. Banyak manapun, berat manapun pekerjaan yang dilakukan. Apabila balik ke rumah setelah seharian bekerja, tinggalkan kerja, fikiran, dan segala bebanan sebelum balik ke rumah agar anda dapat menikmati rehat yang berkualiti...

Sumber : http://violettulipsangle.blogspot.com

.:. Kerja sampai mati pun x habis .:.

BE A LEADER, NOT A BOSS ..

29 September 2011

Top 10 pengurusan stress ..


.:. Renung-renungkan dan selamat mengamalkan .:.

Saba Restaurant Cyberjaya


.:. Jamuan makan sempena meraikan En. Ilmam .:.

RM70 ..


.:. Sekali isi dah RM70.00. Kalau sebulan isi 7-8 kali, maunya dah hampir RM600.00. Belum dimasukkan dengan tol lagi. Servis confirm hampir sebulan sekali. Arghh .. Tolong laa jangan naik minyak lagi .. tol lagi .. selagi aku belum dapat tukar. Baik perhabis untuk keluarga dan anak-anak .:.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...