28 September 2011

Kuasa sama polis trafik

SAMAN...kompaun DBKL sehingga RM150 terhadap kenderaan yang berhenti di garisan kuning.

KUALA LUMPUR: Bermula 1 Oktober depan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai kuasa sama dengan polis trafik untuk menyaman kenderaan bergerak bagi kesalahan melanggar isyarat lampu merah serta memotong barisan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail, berkata anggota trafik warden DBKL juga boleh menyaman sehingga RM150 bagi setiap saman termasuk kesalahan menghentikan kenderaan di garisan kuning dan tidak mematuhi isyarat lalu lintas.


“Melalui mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara pada 9 September lalu, DBKL dibenarkan mengambil tindakan undang-undang terhadap orang ramai yang tidak mematuhi peraturan jalan raya bertujuan untuk membantu polis mengawal persimpangan jalan, sekali gus memastikan pergerakan lalu lintas lancar.

“Seramai 40 anggota DBKL dipilih untuk bertugas pada waktu puncak memantau di 10 persimpangan yang dikenal pasti,” katanya selepas merasmikan perhimpunan bulanan DBKL di sini, semalam.


Antaranya persimpangan Jalan Raja Laut ke Jalan Sultan Ismail, Tuanku Abdul Rahman-Sultan Ismail, Dang Wangi-Tuanku Abdul Rahman, Pudu-Bukit Bintang, Leboh Ampang-Tun Perak, Tun Chan Cheng Lock- Jalan Sultan, Tun Ismail-Jalan Ipoh serta Jalan Parlimen-Raja Laut.


Melalui peruntukan undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 1987, Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan Kaedah-Kaedah Isyarat Lalulintas, membolehkan DBKL mengambil tindakan terhadap kenderaan bergerak dan tidak lagi tertakluk pada kesalahan lalu lintas statik saja seperti sekarang.

Sementara itu, Ahmad Fuad melancarkan Kempen Senyum Peringkat DBKL yang menyarankan semua kakitangannya terutama petugas barisan hadapan mengamalkan budaya mesra pelanggan melalui amalan memberikan senyuman ketika berurusan dengan orang ramai.


“Bertemakan ‘Perkhidmatan Dengan Senyuman’ kempen ini bertepatan hasrat untuk memastikan perkhidmatan DBKL sentiasa disenangi dan memuaskan hati orang ramai,” katanya.

Sumber : myMetro

.:. Mudah-mudahan tiada penyalahgunaan kuasa .:.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...