29 October 2011

Bergurau nyer fasal ,,,,


Padah bergurau: Wanita patah hidung dibelasah sepupu lelaki


KUANTAN 28 Okt. - Seorang juru jual wanita cedera dibelasah sehingga patah hidung gara-gara bergurau dengan menyembunyikan dompet sepupu lelakinya.

Wanita berusia 24 tahun itu disepak, ditumbuk dan dihentak kepalanya ke dinding selepas memulangkan dompet berkenaan kepada sepupunya dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari di Taman Raub Jaya, Raub, semalam.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan Mohd. Haris Daud, sebelum kejadian, suspek berusia 22 tahun itu ke tempat kerja mangsa di sebuah kedai perabot.

"Di situ, mangsa bertindak menyembunyikan dompet suspek untuk tujuan bergurau. Bagaimanapun, mangsa kemudian ke rumah sepupunya untuk memulangkan semula dompet berkenaan.

"Selepas memulangkan dompet itu, mangsa dihalang keluar dari rumah sebelum suspek membelasahnya dengan menumbuk, menyepak serta menghentak kepala mangsa ke dinding," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kata Mohd. Haris, mangsa yang mengalami kecederaan serius kemudian dibawa ke Hospital Raub untuk mendapat rawatan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub.

"Hasil pemeriksaan X-ray, hidung mangsa disahkan patah. Kejadian itu lebih kepada salah faham antara kedua-dua pihak.

"Dipercayai pemuda itu terlalu marah kerana mahu menggunakan kad pengenalan yang disimpan dalam dompetnya untuk latihan memandu kenderaan pada hari tersebut," katanya.

Tambah beliau, suspek kini ditahan polis sejurus selepas laporan dibuat bagi membantu siasatan.

Mohd. Haris berkata, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan parah - Utusan Malaysia Online

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...