03 October 2011

Kasta ..

Kasta Dalam Pekerjaan

Kasta. Aku ingatkan sudah tidak wujud lagi pengenalan identiti melalui kasta di zaman yang serba canggih sekarang. Rupa-rupanya ia masih lagi bertapak. Apa yang aku nampak, budaya ini sebenarnya adalah satu budaya yang salah. Hanya mereka yang masih berfikiran kuno sahaja yang masih mengamalkan prinsip ini di dalam kehidupan masing-masing. Dan hanya diriku sahaja yang kenal siapakah orangnya.

Sepatutnya kita dilayan sama sahaja. Kita semua kan manusia biasa yang datangnya dari Adam dan Hawa. Tidak kiralah jika pekerjaan anda adalah dari bidang profesional atau sebaliknya. Manusia tetap manusia dan layak mendapat layanan yang sama rata. Itulah yang diamalkan di negara kita. Sebab itulah, kita dapat lihat walaupun negara kita mempunyai berbagai-bagai jenis bangsa dan agama, kita dapat hidup secara aman damai.

Namun, pada skala yang lebih kecil yakni di tempat kerja, ada juga manusia yang menganggap dirinya terlampau “tinggi” dan orang di sekelilingnya hanyalah sekumpulan manusia yang jauh lebih “rendah”. Betapa tidak bertamadunnya manusia yang sebegitu. Pada pendapat aku, manusia sebegini terlalu ego. Tidak mahu mendengar pendapat orang lain dan merasakan bahawa dirinya tidak sepatutnya ditegur terutamanya jika orang bawahan yang menegurnya. Apa alasannya? “Sebab diriku ada segulung ijazah dan pangkatku lebih besar daripada kau!”. Oh, betapa alpanya manusia sebegini dengan anugerah yang diberi kepadanya. Mungkin manusia ini lupa yang jika Dia hendak menarik balik apa yang sudah dikurniaNya, sekelip mata sahaja segala-galanya akan berubah.

Sudah fitrah manusia, jika dapat bahagian yang lebih sedikit, maka berlakulah perubahan pada dirinya sedikit demi sedikit. Sakit mata dan sakit telinga menjadi saksi kepada kewujudan manusia serupa ini. Kadang-kadang ingin sekali aku keluar daripada kelompok ini. Akan tetapi, pabila ku fikir semula, di setiap tempat, pasti ada perkara atau kerenah manusia yang boleh membuatkan kita terasa hairan. Atau jika diletakkan perkataan yang sedikit kasar (maafkan aku di sini), membuatkan kita terasa benci! Maka apa yang dapat ku lakukan hanyalah, perbetulkanlah diri sendiri supaya jika ditakdirkan diri kita berada di tahap yang tinggi, mudah-mudahan kita sentiasa sedar akan “akar” diri kita. Amin.

Sumber : 3r.com.my

.:. Jangan la sebab kita pangkat tinggi tidak boleh dengar dan terima teguran orang bawahan bukan ke manusia tu semua sama jangan lak kita mencipta jurang perbezaan sesama manusia .:.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...