29 October 2011

Memperkasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam

PANDUAN MEMPERKASAKAN PENGGUNAAN BAHASA KEBANGSAAN DALAM PERKHIDMATAN AWAM

6. Semua Ketua Jabatan hendaklah memastikan penggunaan Bahasa Kebangsaan dilaksanakan dengan baik dan betul serta secara menyeluruh dalam Perkhidmatan Awam berdasarkan panduan-panduan berikut:


i. Urusan Rasmi Dalam Negara



a) Surat Dalam Negara
Semua surat-menyurat rasmi dalam negara oleh Agensi Kerajaan hendaklah menggunakan Bahasa Kebangsaan sepenuhnya. Agensi Kerajaan dikehendaki memberikan surat balasan berserta dokumen lampiran dalam Bahasa Kebangsaan termasuk surat-menyurat yang diterima daripada manamana pihak yang menggunakan bahasa selain Bahasa Kebangsaan. 

b) Dokumen Perjanjian Dalam Negara
Semua dokumen perjanjian dalam negara oleh Agensi Kerajaan hendaklah menggunakan Bahasa Kebangsaan sepenuhnya. Dokumen tambahan atau lampiran, sekiranya ada, boleh disediakan dalam Bahasa Inggeris. 

c) Urusan Mesyuarat Melibatkan Kehadiran
Warganegara Malaysia Semua urusan berkaitan dengan mesyuarat termasuk e-mel, notis, minit, memorandum, laporan, nota pembentangan dan dokumen edaran bagi mesyuarat anjuran Agensi Kerajaan yang melibatkan kehadiran ahli mesyuarat atau peserta dari kalangan warganegara Malaysia hendaklah disediakan dalam Bahasa Kebangsaan.
Semua perbincangan, taklimat, pembentangan dan persembahan dalam mesyuarat anjuran Agensi Kerajaan yang melibatkan kehadiran ahli atau peserta dari kalangan warganegara Malaysia hendaklah dibuat dalam Bahasa Kebangsaan.

d) Penganjuran Majlis Rasmi Melibatkan Kehadiran Warganegara Malaysia
Semua urusan berkaitan dengan penganjuran majlis rasmi termasuk surat, e-mel dan notis jemputan, pengacaraan, bacaan doa, ucapan aluan, ucapan perasmian dan ucapan penutup, pembentangan serta dokumen edaran anjuran Agensi Kerajaan yang melibatkan kehadiran peserta dari 5 kalangan warganegara Malaysia hendaklah disediakan dalam Bahasa Kebangsaan.

ii. Urusan Rasmi Antarabangsa
a) Surat Antarabangsa
Semua surat rasmi oleh Agensi Kerajaan kepada pihakpihak di luar negara digalakkan menggunakan Bahasa Kebangsaan dan disertakan terjemahan dalam Bahasa Inggeris. Sekiranya ada dokumen tambahan yang perlu disertakan bersama surat tersebut, ia bolehlah disediakan dalam Bahasa Inggeris.

b) Dokumen Perjanjian Antarabangsa
Semua dokumen perjanjian oleh Agensi Kerajaan di peringkat antarabangsa hendaklah menggunakan Bahasa Inggeris. Terjemahan dalam Bahasa Kebangsaan boleh disediakan bagi tujuan rekod dan semakan. Sekiranya terdapat sebarang pertikaian di masa hadapan, dokumen asal dalam Bahasa Inggeris akan menjadi rujukan yang sahih.

c) Urusan Mesyuarat Melibatkan Kehadiran Bukan Warganegara Malaysia
Semua urusan berkaitan dengan mesyuarat termasuk e-mel, notis, minit, memorandum, laporan, nota pembentangan dan dokumen edaran di mesyuarat anjuran Agensi Kerajaan yang melibatkan kehadiran ahli mesyuarat atau peserta dari kalangan bukan warganegara Malaysia, boleh disediakan dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris. Semua perbincangan, taklimat, pembentangan dan persembahan dalam mesyuarat anjuran Agensi Kerajaan yang melibatkan kehadiran ahli atau peserta dari kalangan bukan warganegara Malaysia boleh dikendalikan dalam Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris.

d) Penganjuran Majlis Rasmi Melibatkan Kehadiran Bukan Warganegara Malaysia
Semua urusan berkaitan dengan penganjuran majlis rasmi termasuk surat, e-mel dan notis jemputan, pengacaraan, bacaan doa, ucapan aluan, ucapan perasmian dan ucapan penutup, pembentangan serta dokumen edaran anjuran Kementerian dan Agensi Kerajaan yang melibatkan kehadiran peserta dari kalangan bukan warganegara Malaysia, hendaklah disediakan dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris.Terjemahan dalam Bahasa Kebangsaan hendaklah disediakan oleh pihak urus setia.

iii. Pengiklanan Kekosongan Jawatan Dalam Perkhidmatan Awam
Pengiklanan kekosongan jawatan dalam Perkhidmatan Awam oleh Pihak Berkuasa Melantik, Kementerian dan Agensi Kerajaan hendaklah disiar atau diterbitkan menggunakan Bahasa Kebangsaan.

iv. Perkhidmatan Kaunter
Semua urusan bagi perkhidmatan kaunter di Agensi Kerajaan hendaklah menggunakan Bahasa Kebangsaan. Walau bagaimanapun, bagi memudahkan komunikasi dengan pelanggan-pelanggan bukan warganegara Malaysia, petugaspetugas kaunter perkhidmatan boleh menggunakan bahasa yang difahami oleh pelanggan berkenaan. 

v. Maklum Balas Aduan Di Akhbar Dan Isu Media Massa
Semua maklum balas berkaitan aduan dan isu di media massa mengenai Perkhidmatan Awam oleh Agensi Kerajaan hendaklah disediakan dalam Bahasa Kebangsaan. Bagi siaran dalam media massa berbahasa Inggeris, terjemahan dalam Bahasa Inggeris boleh disertakan sebagai dokumen lampiran bagi memastikan maksud asal maklum balas tidak disalah tafsir.

Panduan ini diperolehi dari
PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 9 TAHUN 2011
PANDUAN PENGGUNAAN BAHASA KEBANGSAAN DALAM PERKHIDMATAN AWAM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...