24 November 2011

Apa perasaan korang ....

Berita Harian Online

Trofi Yuna ditarik balik

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular negara yang mula mencipta nama di Amerika Syarikat, Yuna mengesahkan trofi Lagu Terbaik yang dimenanginya pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-18 dua minggu lalu ditarik balik.

Beliau yang merangkul trofi berkenaan menerusi lagu Penakut mengakui perkara itu menerusi laman Twitternya, semalam.
Bagaimanapun, penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 itu enggan mengulas lanjut mengenai penarikan balik trofi, sebaliknya meminta semua persoalan diajukan kepada penganjur, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).
Semalam, ruangan Dengarnya dalam akhbar ini menyiarkan artikel berlaku kesilapan pengiraan sehingga trofi Lagu Terbaik dianugerahkan kepada lagu Penakut, sedangkan ia tidak memenangi lagu terbaik dalam kategori ditandingi.

Sebaliknya, Lagu Pop Terbaik yang turut menyenaraikan lagu Penakut, dimenangi Sedetik Lebih, ciptaan Edry Abdul Halim. Lagu tema Hikayat Merong Mahawangsa itu dinyanyikan Anuar Zain.

Sementara itu, Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur AIM18, yang juga Naib Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan RIM, Rosmin Hashim ketika dihubungi berkata, penjelasan mengenai perkara itu akan diberikan pada sidang media khas petang ini.

myMETRO

Kesilapan teknikal

KUALA LUMPUR: Keputusan menarik balik kemenangan Yuna dalam kategori Lagu Terbaik harus dilakukan demi menjaga integriti persatuan dan penganjuran AIM itu sendiri.

Naib Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Andrian Lim berkata walaupun keputusan itu akan menimbulkan rasa tidak percaya penggiat industri muzik terhadap RIM selaku penganjur Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) ia tetap perlu dilakukan.


Beliau berlaku, pihaknya menyedari berlaku kesilapan teknikal ketika pengiraan markah pemenang dalam kategori terbabit.

“Perkara ini disedari apabila ramai yang memberikan maklum balas terhadap kemenangan Yuna dalam kategori terbabit, memandangkan singlenya iaitu Penakut tidak memenangi kategori Lagu Pop Terbaik. “Seharusnya lagu yang memenangi setiap kategori iaitu Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Rock Terbaik dan Lagu Pop Terbaik dipilih untuk memenangi anugerah utama itu,” katanya.

mStar Online

Yuna Sahkan Kemenangan 'Penakut' Ditarik Balik

PETALING JAYA: Penyanyi Yuna mengesahkan kontroversi mengenai penarikan balik trofi Lagu Terbaik menerusi Penakut yang dimenangi di Anugerah Industri Muzik 18 (AIM18) baru-baru ini.

Penyanyi yang popular dengan lagu Dan Sebenarnya itu mengesahkan menerusi laman Twitter miliknya tengah hari tadi.

"Ya ia benar. Tetapi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat yang menyukai lagu tersebut," ujarnya.

Terdahulu, akhbar pada Rabu melaporkan, berlaku kesilapan pada pemilihan pemenang bagi kategori itu sehingga Penakut dinobatkan sebagai lagu terbaik secara keseluruhan walaupun ia tidak memenangi dalam kategori Lagu Pop Terbaik pada anugerah itu.

Turut dilaporkan, anugerah itu akan diserahkan kepada komposer Edry Abdul Halim dan Anuar Zain menerusi lagu Sedetik Lebih yang memenangi dalam kategori Lagu Pop Terbaik.

Difahamkan, pihak penganjur iaitu RIM dan AIM akan mengadakan sidang akhbar khas di Hotel Maya pada Khamis bagi menjelaskan kekeliruan itu.

Yuna dalam satu mesej lain di laman Twitter memberitahu dia tidak mahu menjawab sebarang pertanyaan dan memohon supaya ia diajukan kepada pihak penganjur.

Pada anugerah itu, Yuna menggondol tiga anugerah iaitu Persembahan Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu (Penakut) dan Anugerah Kembara atas pencapaian cemerlangnya di Amerika Syarikat selain Lagu Terbaik (Penakut).

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...