25 November 2011

BBM

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang mengehadkan penggunaan Blackberry Messenger (BBM) dikalangan penjawat awam memandangkan ia adalah saluran komunikasi pantas antara kerajaan dan rakyat.

Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Mohamad Zabidi Zainal, berkata kerajaan memutuskan penggunaan peralatan komunikasi itu diteruskan dan ia perlu mematuhi peraturan ditetapkan.
“Dalam konteks MAMPU di bawah Jabatan Perdana Menteri, ada mengeluarkan Surat Arahan kepada semua Ketua Jabatan pada 15 September 2009 mengenai penggunaan telefon pintar serta alat komunikasi mudah alih sebagai saluran komunikasi tambahan termasuk aplikasi penggunaan BBM.
“Walau bagaimanapun, dalam arahan terbabit menjelaskan penggunaan alat komunikasi tidak disekat tertakluk kepada peraturan sedia ada antaranya Garis Panduan Mengenai Tatacara Penggunaan Internet dan Mel Elektronik di Agensi Kerajaan, yang menerangkan tatacara penggunaan Internet dan e-mel serta tahap keselamatan sistem komunikasi dan dokumen rasmi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan Timbalan Menteri Penerangan dan Komunikasi, Datuk Joseph Salang Gandum, baru-baru ini, supaya pegawai kerajaan yang menggunakan telefon bimbit pintar Blackberry mengehadkan penggunaan kemudahan BBM supaya rahsia atau maklumat kerajaan terjaga.

Katanya, Arahan Teknologi Maklumat juga menggariskan keperluan dalam menguruskan sebarang transaksi elektronik dan Rangka Dasar Keselamatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Kerajaan Tahun 2000 dirumus mengikut keperluan penguatkuasaan bagi melindungi maklumat dan aset teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Kerajaan melalui mekanisme sedia ada sentiasa melaksanakan pemantauan berterusan untuk memastikan pematuhan sepenuhnya ke atas peraturan sedang berkuat kuasa,” katanya.
Sementara itu, Presiden Blackberry User Group Malaysia (BBUGMY), Nelson Rizal Radzmi, berkata bagi mengawal data dan maklumat supaya selamat kerajaan sepatutnya mengambil pendekatan menggunakan Blackberry Enterprise Server (BES).

“Kerajaan tidak sepatutnya menghalang penggunaan Blackberry kerana ia digunakan secara meluas oleh banyak agensi keselamatan terutama di Amerika Syarikat, malah alat ini juga dibuat untuk melindungi semua data pengguna,” katanya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...