04 November 2011

Hot FM Atasi ERA

Persaingan dunia penyiaran radio ternyata semakin kompetitif dalam menyajikan hiburan serta informasi terkini kepada pendengar, melihatkan senario di mana pendengar semakin bijak menilai dan memilih.
Namun itu tidak menjadi penghalang kepada stesen-stesen radio di bawah sayap syarikat penyiaran terkemuka tanahair, Media Prima Berhad untuk terus memperkukuhkan jenama masing-masing di hati pendengar yang sedia ada mahupun dalam menarik pendengar baru.
Kreatif, innovatif dan komited kepada pendengar setia menjadi misi Rangkaian Radio Media Prima sepanjang beroperasi. Bagi Hot FM, Fly FM dan one FM, ketiga-tiga kriteria itu menjadi prinsip asas untuk terus relevan pada pendengar.
Hot FM adalah radio nombor satu negara bagi demografik bawah 35 tahun, sekaligus meletakkan stesen hangat itu sebagai radio nombor dua negara dengan pendengar menjangkau hampir 3.6juta. Dengan kenaikan sebanyak 122,000 daripada kajian lalu, Hot FM mendominasi kategori golongan professional, eksekutif, pengurus dan ahli perniagaan (PMEBs), pekerja kolar putih dan pelajar.
Kajian kali ini juga membuktikan bahawa kehadiran empat penyampai dalam mengelolakan sesebuah segmen mampu menarik perhatian pendengar. Hot FM AM Krew kendalian Fara Fauzana, Faizal Ismail, AG serta penampilan pertama Usop sebagai penyampai radio disifatkan memenuhi selera pendengar masa kini.
Peningkatan positif itu turut disumbangkan oleh segmen lain iaitu Menu Muzik Hot FM yang dihoskan oleh Leya, Hot FM Jam oleh Kieran, Ikhwan dan Suraya serta Hot FM zon yang diterajui oleh dua penyampai junior, Chad dan Deen.
Fly FM sekali lagi mengekalkan kedudukannya sebagai radio berbahasa Inggeris nombor dua negara. Rombakan yang dilakukan pada Julai lalu nyata membawa impak yang kuat apabila stesen itu mencatatkan kenaikan sebanyak 30%. Dengan penyumbang utama, segmen Pagi Rock Crew yang diterbangkan oleh Hafiz, Prem dan Nadia (sebanyak 54%) serta Phat Fabes and Ben Show (sebanyak 30%), Fly FM terus menguasai kategori pendengar urban.
One FM pula sejak dari awal operasi terus memberi angka yang memberangsangkan. Untuk kajian kali ini, stesen yang beroperasi dalam dua dialek Cina, iaitu Kantonis dan Mandarin, telah mencatatkan kenaikan sebanyak sembilan peratus secara keseluruhan. Apatah lagi, kurang dari 3 tahun, one FM telah meletakkan kedudukannya sebagai stesen radio berbahasa Cina nombor dua negara apabila berjaya menguasai demografik 18 hingga 29 tahun.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul, “Di Rangkaian Radio Media Prima, kami mementingkan kualiti pengisian bagi setiap stesen. Ianya sangat penting untuk setiap stesen kami menjadi relevan kepada pendengar dari segi muzik, informasi serta aktiviti yang dijalankan.
"Maka, kami menjadikan itu sebagai titik fokus utama kami untuk bersaing dalam dunia radio yang lebih kompetitif. Bagi Hot FM pula, pengukuhan jenama di kawasan Pantai Timur juga turut menjadi agenda penting pada 2012 nanti.”
 Sumber : gua.com.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...