19 December 2011

Ahli Politik, Pegawai Kerajaan Digalak Guna Laman Sosial

KUALA LUMPUR: Ahli politik dan pegawai kerajaan perlu mengadaptasi kemudahan media sosial untuk merapatkan diri dengan rakyat berikutan wujudnya permintaan yang tinggi untuk maklumat di dalam negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata berdasarkan satu kajian, rakyat Malaysia menghabiskan masa secara purata sembilan jam sehari untuk berinteraksi secara 'online' melalui Twitter, Friendster, Facebook serta Myspace dan mereka juga tersenarai sebagai pengguna yang meluangkan masa paling lama menggunakan media sosial.

"Permintaan untuk maklumat begitu tinggi di kalangan masyarakat dan sebab itu komunikasi dengan rakyat perlu menggunakan pelbagai kaedah tambahan, tidak semestinya pakai media rasmi, tetapi perlu babitkan media sosial sebagai tools of engagement (alat komunikasi) terutama orang politik dan mereka yang terlibat dalam pentadbiran," katanya semasa berucap melancarkan 1Malaysia TV di sini, Ahad.

Turut hadir Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

Perdana Menteri berkata kemudahan media sosial membolehkan penggunanya membuat penilaian di atas apa-apa isu dengan segera.

Najib sendiri, yang agak rajin berinteraksi menerusi 'Twitter', mengakui beliau sentiasa mendapat respons langsung daripada rakyat Malaysia yang mengikuti laman sosial beliau.

Mengakui hakikat kemudahan media sosial mempunyai kebaikan dan kelemahan, Perdana Menteri berkata kebaikannya ialah pengguna dapat berinteraksi secara langsung dengan rakyat yang sebelum ini tidak pernah berlaku seperti pada zaman ayahandanya, Perdana Menteri kedua Tun Abduk Razak Hussein dan zaman itu rakyat agak sukar untuk mendapatkan maklumat.

"Mereka mendapat maklumat daripada beberapa sumber rasmi sahaja tetapi hari ini pelbagai sumber menyalurkan maklumat dapat diakses malah kalau kita tidak memberi sesuatu maklumat mereka akan dapat maklumat itu daripada sumber-sumber lain. Apabila wujudnya vakum seperti ini, mereka akan mendapatkan daripada sumber-sumber lain dan adakalanya sumber yang lain itu dicampur aduk dengan cerita dongeng atau rekaan termasuk berita palsu dan fitnah," katanya.

Najib berkata kerajaan tidak mempunyai pilihan kecuali bertindak cepat untuk memberi maklumat kepada rakyat dan jika boleh, melakunya pada masa sebenar.

Inilah realiti keadaan masyarakat hari ini dan untuk menawan hati generasi muda, kerajaan perlu menggunakan bahasa yang mereka pakai dan bahasa mereka adalah teknologi, katanya.

"Satu-satunya bahasa yang mereka fahami ialah teknologi," katanya Beliau berkata perkembangan teknologi hari ini berkembang dengan pantas dan kelahiran media baru telah memberikan impak yang besar kepada masyarakat.

Katanya majalah TIME pernah menggelarkan Malaysia sebagai negara pengguna telekomunikasi telefon selular yang paling banyak penggunanya iaitu pada kadar 124.7 untuk 100 penduduk atau pun setiap seorang mempunyai lebih daripada satu telefon bimbit.

Najib mengimbas zaman ketika beliau menjadi Menteri Besar Pahang, yang menyaksikannya menggunakan telefon bimbit model Motorola yang agak besar saiznya tetapi hari ini perkembangan teknologi telefon bimbit amat mengkagumkan.

"Bila saya buat ibadat haji, rakaman ucapan Aidiladha yang saya buat di padang Arafah dirakam daripada Iphone saya sendiri dan dihantar ke stesyen TV dan malam itu dipancarkan tanpa mengguna khidmat jurukamera RTM atau TV3," katanya.

1Malaysia TV adalah siaran televisyen secara talian yang dimajukan oleh 1MediaIPTV Sdn Bhd yang boleh ditonton melalui telefon pintar, komputer tablet dan juga komputer riba.

Saluran yang mendapat pengiktirafan 'Malaysia Book of Records' sebagai media baru pertama berkonsepkan 1Malaysia itu menyediakan siaran daripada rangkaian RTM1, RTM2, TV3, TV Al Hijrah, My Youth TV, CCTV 1, E-Korea TV, Erama Music, Erama Documentary TV dan KLPOP Online Radio Streaming.

Orang ramai boleh menonton siaran televisyen itu di laman www.1Malaysiaiptv.com atau www.erama.tv/mobiletv.

Untuk pengguna telefon pintar seperti Iphone, Blackberry dan Android, mereka boleh memuat turun aplikasi televisyen tersebut melalui stor aplikasi telefon masing-masing.- BERNAMA

Sumber : mStar Online

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...