01 December 2011

Fitnah ...

Bahaya fitnah dalam hidup

SEBAGAI manusia, selagi hidup kita akan berinteraksi dengan orang lain. Setiap hari kita berkomunikasi dengan orang di sekeliling dan dari situ kita dapat memproses maklumat serta membina hubungan dalam bermasyarakat.

Orang yang enggan berinteraksi sebenarnya adalah orang yang tidak berada dalam realiti kehidupan yang hakiki dan dia sebenarnya tidak menunaikan tuntutan sebagai manusia.

Orang yang suka bersendirian akan lebih terdedah kepada hasutan syaitan sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW: “Sesungguhnya syaitan itu seperti serigala kepada manusia sebagaimana serigala kepada ternakan. Ia menerkam kambing yang bersendirian dan terpencil. Maka, jauhilah kamu daripada berpecah belah, dan wajiblah kamu bersama-sama jemaah, orang ramai dan masjid.” (riwayat Ahmad)

Namun, dalam kehidupan bermasyarakat, kita perlu menjaga akhlak dalam percakapan dengan orang lain. Ketika berkomunikasi, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah kebenaran fakta yang disampaikan kepada kita dan sejauh mana ketepatan maklumat yang kita sampaikan kepada orang lain.

Bak kata pepatah “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”.
Islam menganggap fitnah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dan dilarang Allah seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:
Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan. (al-Baqarah: 191)
Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang gemar menyebarkan fitnah. (al-Qalam: 29).

Oleh itu, kita perlu menjaga dua perkara dalam berinteraksi iaitu input dan output. Di kebanyakan waktu dan ketika, kita perlu mempunyai usaha dalam menapis maklumat yang diterima.
Justeru, Allah SWT memerintahkan kita untuk tabayyun iaitu menganalisis dan mengkaji terlebih dahulu maklumat yang kita perolehi. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6)

Sikap tabayyun ini sangat perlu kerana berkemungkinan maklumat yang sampai kepada kita adalah tidak benar ataupun merupakan fitnah yang sengaja diciptakan untuk memburukkan seseorang.
Dalam hal ini pendekatan yang betul sangat penting agar kita tidak terperangkap. Justeru, apabila menerima satu-satu maklumat jangan mudah menerimanya tanpa terlebih dahulu dipastikan kebenarannya atau difahami maklumat berkenaan.

Sebagai contoh, seorang hakim tidak boleh membuat keputusan tanpa bersikap adil dalam memperolehi maklumat. Justeru, hakim perlu memanggil kedua-dua pihak sama ada tertuduh atau yang menuduh.

Kita tidak boleh menghukum seseorang dengan sentimen. Islam mengajar kita menghukum berdasarkan maklumat yang tepat.

Ia seperti yang disebut dalam satu kaedah, “Menjatuhkan satu-satu hukuman dalam sesuatu perkara hendaklah berdasarkan tasawur yang jelas tentang perkara tersebut”.

Dalam sejarah umat Islam, kita menyaksikan betapa fitnah membawa bencana dan malapetaka dalam masyarakat. Fitnah inilah yang membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman r.a yang dituduh menjalankan dasar kronisme dan nepotisme dalam pentadbirannya.

Fitnah juga menyebabkan berlaku pertembungan di antara para sahabat besar seperti Saidina Ali bin Abi Talib r.a dan Muawiyah bin Abi Sufyan r.a. Munir al-Ghadban menyebut dalam kitabnya berkenaan Muawiyah bin Abi Sufyan: “Aku tidak berpendapat bahawa adanya suatu peribadi di dalam sejarah umat Islam yang terdiri daripada kalangan para sahabat yang awal, yang ditarbiah dengan tangan Rasulullah SAW dan mereka yang hidup dengan wahyu langit, lalu diperburukkan, dibohongi mengenainya dan didustakan kepadanya seperti yang terkena pada Muawiyah bin Abi Sufyan r.a…”

Sumber : islamituindah

Fitnah ancaman ummah akhir zaman

Fitnah melibatkan manusia dan manusia yang lain. Tidak terjadi di kalangan haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Oleh itu dosa ini digolongkan dosa sesama manusia. Maka dosa ini tidak akan diampunkan oleh Allah melainkan meminta ampun orang yang difi tnah. Kini, menyebar fitnah seolah-olah perkara yang kecil bagi manusia sekarang.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Betapa besar hukuman yang dikenakan terhadap mereka yang menjadi penyebar fitnah. Tidak masuk syurga! Jika tidak masuk syurga ke nerakalah tempatnya. Tidak ada istilah ‘duduk di tengah-tengah’ bagi mereka yang melakukan kejahatan.

Fitnah dalam bahasa Arab bermaksud ujian dan cubaan. Imam Ibnu Hajar menjelaskan bahawa makna asal fi tnah ialah al-ikhtibar, al-imtihan iaitu ujian. Ibnu Manzur pula menyatakan fitnah itu adalah al-ibtila’(cubaan), al-imtihan dan al-ikhtibar (ujian). Manakala Jurjani memberikan definisinya iaitu “Perkara yang dilakukan untuk mengetahui kebaikan atau keburukan sesuatu.”

Manakala makna fitnah menurut al-Quran pula membawa erti syirik dalam surah al-Baqarah yang bermaksud: “Dan perangilah mereka supaya tidak berlakunya syirik.” Selain itu fi tnah juga membawa makna ujian dan cubaan (surah Toha: 40 dan al-Ankabut:3), seksa (surah al-Ankabut:10, surah az-Zariat:14 dan surah an-Nahl:110), dosa (at-Taubah:49), kekufuran (at-Taubah:48 dan ali-Imran:7), kebinasaan (an-Nisa:101 dan Yunus:83), berpaling dari jalan yang benar (al-Maaidah:49 dan al-Isra’:73), sesat (al-Maaidah:41 dan as-Soffat:162), alasan (al-An’am:23, sebahagian tafsir memberi maksud jawapan), dan gila (al-Qalam:6).

Fitnah menurut as-Sunnah memberi maksud perselisihan dan peperangan, sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Akan berlaku perselisihan dan peperangan, orang yang melihatnya lebih baik dari orang yang menyebabkannya ia berlaku.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Selain itu fitnah member maksud ujian dan cubaan, melalaikan dan melekakan, penyeksaan dan pembunuhan, berlaku kemungkaran dan kemaksiatan, memaksa untuk kembali kufur, dan menjauhkan dari agama.

Fitnah melibatkan manusia dan manusia yang lain. Tidak terjadi di kalangan haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Oleh itu dosa ini digolongkan dosa sesama manusia. Maka dosa ini tidak akan diampunkan oleh Allah melainkan meminta ampun orang yang difitnah. Kini, menyebar fitnah seolah-olah perkara yang kecil bagi manusia sekarang.

Orang yang difi tnah akan pergi ke mahkamah dan mengemukakan saman serta menarik balik tuduhan yang dilontarkan. Bagi mereka yang melontarkan fitnah itu akan cuba melawan habis-habisan bagi mempertahankan tuduhannya atau akan menarik semula tuduhan tersebut setelah mengambil masa yang terlalu lama. Betapa ringannya dosa fitnah bagi mereka kerana semuanya disandarkan kepada mahkamah.

Sumber : iluvislam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...