02 December 2011

Hijrah 'Wanita Jelmaan'

Berubah lelaki sejati

IPOH: “Alhamdulillah, Allah membuka pintu hati saya untuk berubah, sekali gus membolehkan saya memenuhi amanat arwah bapa sebelum dia meninggal dunia awal tahun ini.”

Itu kata Baby atau nama sebenarnya Ismail, 29, seorang daripada 40 mak nyah yang menyertai aktiviti pemulihan dinamakan Program Mukhayyam anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sebuah resort di sini, selama tiga hari, bermula kelmarin.

Ismail berkata, selepas bapanya meninggal dunia, keinginannya untuk kembali menjadi lelaki normal semakin kuat dan dia mula mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri kepada Allah.

Menurutnya, selepas mendapat tahu mengenai Program Mukhayyam, dia mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar diri sebagai peserta kerana percaya ia medan terbaik untuk kembali ke pangkal jalan.

“Saya tertarik menyertai Program Mukhayyam kerana program keagamaan ini diadakan secara santai dan tanpa diskriminasi. Insya-Allah selepas tamat program ini, hala tuju saya lebih jelas,” katanya.

40 pondan ‘disuntik’ keinsafan

IPOH: Mengambil semangat Maal Hijrah yang disambut Ahad lalu, 40 pondan atau mak nyah disuntik keinsafan dan melafazkan ikrar untuk kembali menjadi lelaki tulen.

Kebanyakan mak nyah terbabit yang bergelumang dosa menjadi ‘wanita palsu’ sejak sekian lama menunjukkan keazaman tinggi mahu bertaubat selepas mengikuti Program Mukhayyam anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Program tiga hari itu diadakan sejak kelmarin di sebuah resort di sini, dengan dikendalikan 10 kakitangan Jakim serta penceramah bebas.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kekeluargaan, Sosial dan Komuniti Jakim, Zakuan Sawai, berkata program itu disertai secara sukarela oleh mak nyah terbabit dan maklum balas positif datang daripada mereka selepas program sama dianjurkan di Negeri Sembilan dan Pahang pada Mac serta April lalu.

“Saya tidak menyangka program ini yang pada mulanya dipandang negatif segelintir mak nyah, kini berjaya menarik penyertaan mereka.

“Sepanjang tiga hari program, mak nyah terbabit yang berusia 22 hingga 50 tahun menunjukkan minat dan keinginan tinggi menghayati semula ajaran Islam,” katanya.

Menurutnya, modul diperkenalkan Jakim itu bukan hanya membabitkan ceramah agama semata-mata sebaliknya lebih menjurus aktiviti menyeronokkan yang menyelitkan nilai-nilai moral.


‘Benci maksiat tapi bukan benci mereka’

IPOH: “Kita wajib membenci maksiat yang mereka lakukan, tetapi tidak boleh membenci mereka, sebaliknya perlu membimbing mereka kembali ke landasan kehidupan yang betul,” kata pendakwah, Hanafi Abdul Malek yang menjadi ketua fasilitator program pemulihan mak nyah anjuran anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menurutnya, sikap terus menuding jari menyalahkan golongan ini dan meminggirkan mereka bukan jalan penyelesaian serta perlu dikikis daripada hati masyarakat.

Justeru, beliau berharap lebih banyak aktiviti seperti Program Mukhayyam anjuran Jakim itu diperkembangkan ke seluruh negara.
“Biarpun tiga kali diadakan, hampir 90 peratus mak nyah yang menyertai Program Mukhayyam insaf dan kembali menjalani kehidupan normal.

“Ini termasuk kembali menjadi seorang Muslim selepas murtad. Manakala bagi mereka yang mempunyai payu dara hasil pembedahan sebelum ini, mereka bertindak membuangnya semula.

“Satu lagi kejayaan program ini ialah ramai golongan mak nyah bekerja sebagai pelacur, berhenti daripada pekerjaan itu selepas sertai program,” katanya.

Menurutnya, pada penganjuran kali pertama program ini di Negeri Sembilan, kakitangan Jakim dan jabatan agama Islam negeri itu turun padang serta memasuki lorong ‘belakang mati’ mencari golongan mak nyah bagi menerangkan mengenai program serta memujuk mereka menyertainya.

“Majoriti mereka hidup dalam dunia terasing akibat dipulau masyarakat. Senario ini bukannya ke arah kebaikan sebaliknya memburukkan lagi keadaan kerana menutup ruang buat mak nyah yang ingin insaf kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Beliau berkata, mak nyah yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenainya boleh menghubungi Unit Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim di talian 03-88864000.

Sumber : myMETRO

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...