01 December 2011

Penjawat awam masih dibelenggu 'naga ciptaan sendiri'

PUTRAJAYA: Penjawat awam di negara ini yang masih dibelenggu 'naga ciptaan sendiri' seperti budaya mementingkan diri sendiri, keterpisahan dan ketaksuban menjaga sempadan masing-masing, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Beliau berkata, metafora naga itu sinonim dengan sikap penjawat awam yang enggan membuat perubahan minda, melakukan anjakan paradigma, berfikir di luar kotak, berkongsi sumber ilmu dan kepakaran masing-masing.

Justeru, beliau mahukan penjawat awam memahami trend dan perkembangan pengurusan sumber manusia yang mempunyai kaitan yang amat rapat dengan kepemimpinan masa akan datang.

"Janganlah pula untuk berjaya menewaskan naga dalam diri, kita membina naga di jabatan masing-masing.

“Cabaran yang mendepani kepemimpinan sektor awam pada masa kini ialah untuk memimpin warga sektor awam yang bersifat 'inter-generational' bagi membentuk satu sinergi yang mantap ke arah merealisasikan agenda perubahan," katanya berucap pada majlis penyampaian Anugerah Felo dan Diploma kepada 648 graduan Institut Tadbir Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2011 di sini, semalam.

Katanya, kejayaan graduan Diploma Pengurusan Awam (DPA) dan Diploma Pengurusan Sains (DPS) ini adalah bukti kesungguhan dan komitmen mereka dalam menghadapi dan menewaskan ‘naga' dalam diri, seterusnya menjadi generasi pelapis untuk meneruskan misi negara memartabatkan perkhidmatan awam.

Pada majlis itu, KSN turut menyampaikan Anugerah Felo INTAN 2011 kepada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang, 61, atas jasa dan sumbangannya dalam membantu pembangunan dan transformasi sektor awam sepanjang 37 tempoh perkhidmatannya.

Turut hadir, Felo INTAN Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Abu Bakar Abdullah dan Pengarah INTAN, Dr Aminuddin Hashim.

Mohd Sidek berkata, penjawat awam juga perlu menghilangkan rasa keraguan dan kurang berkeyakinan dalam diri masing-masing untuk mencapai kejayaan.

Sementara itu, Zulkurnain dalam ucapannya, berkata penjawat awam di Malaysia bernasib baik kerana kerajaan sanggup membelanjakan berjuta ringgit setiap tahun bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran sama ada di peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana mahu pun ijazah doktor falsafah (PhD).

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...