16 December 2011

Serangan Siamang Di Zoo Melaka

Haiwan serang dua kanak-kanak ditangkap

MELAKA: Siamang yang menyerang dua kanak-kanak di Zoo Melaka kelmarin, sudah ditangkap dan dikuarantin pihak zoo sebagai langkah keselamatan.

Pengarah Zoo Melaka, Ahmad Azhar Mohammed berkata langkah itu prosedur lazim pihaknya bagi mengelak haiwan berkenaan terus mengganas dan menyerang pengunjung.

Katanya, kejadian serangan siamang terhadap manusia adalah pertama kali berlaku sejak Zoo Melaka ditubuhkan pada 1963 dan pihaknya amat terperanjat dan dukacita dengan kejadian itu.

“Sebenarnya insiden seperti ini tidak pernah berlaku di Zoo Melaka. Bukan tabiat siamang menyerang manusia. Saya berpendapat mungkin berlaku provokasi oleh manusia hingga menyebabkan tekanan dan ia terkejut lalu bertindak balas menyerang manusia,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, siamang yang kini berjumlah enam ekor di Zoo Melaka, tidak diletakkan di dalam sangkar besi sebaliknya ditempatkan di habitat berbentuk pulau dikelilingi air kolam buatan.

Katanya, sifat semula jadi siamang dan ungka tidak boleh berenang dan tidak suka kepada air menyebabkan ia jarang keluar dari habitatnya itu.

“Siamang adalah haiwan yang amat menjaga sempadan habitatnya dan bergerak dalam koloni tertentu mengandungi ibu dan anak serta tidak boleh diletakkan dalam koloni yang banyak spesis jantan kerana ia akan bergaduh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Azhar berkata pihaknya membantu meringankan beban keluarga mangsa dengan memperuntukkan polisi insurans tanggungan awam kepada setiap pelawat.

“Zoo Melaka amat dukacita dengan kejadian itu (serangan) dan memohon maaf. Ini adalah kejadian pertama di zoo ini.

“Pihak kami akan menyiasat secara terperinci mengenai kejadian ini dengan mendapatkan kerjasama pakar berkaitan di negara ini.

“Saya difahamkan ketika kejadian ada petugas zoo di kawasan berhampiran di kandang landak selain penyelia dan mereka segera memberi bantuan apabila mengesan kedudukan mangsa,” katanya.

Sumber : myMetro

‘Sangka jinak’

MELAKA: “Saya perasan siamang itu melompat-lompat atas jalan sambil mengejar beberapa pengunjung. Saya sangka ia jinak dan memang dilepaskan untuk hiburan pengunjung zoo menyebabkan kami tak bimbang menghampirinya.
“Bagaimanapun, sebaik menghampiri haiwan itu berpusing dan menerkam lalu menggigit kuat betis kanan kaki anak saya yang sedang didukung,” kata Kamarul Baharin Othman, 37, yang anak lelakinya, Muhammad Afieq Haziq, 3, parah akibat betis kanannya digigit seekor siamang hingga terkoyak dan menampakkan tulang ketika melawat Zoo Melaka di Ayer Keroh di sini, kira-kira jam 2.30 petang, kelmarin.

Difahamkan kejadian itu berlaku selang 15 minit selepas haiwan sama menggigit kaki kanan seorang kanak-kanak perempuan, Nurul Zukrina Abdul Hadi, 5, yang berkunjung ke zoo itu sempena cuti sekolah bersama keluarganya dari Pekan, Pahang.
Difahamkan juga kanak-kanak terbabit hanya luka kecil dan menerima tiga jahitan di Hospital Melaka (HM) sebelum dibenarkan pulang. Bapanya enggan ditemu bual berhubung kejadian itu.

Menurut Kamarul, kejadian itu disedari isterinya yang menjerit kuat apabila melihat siamang berbulu hitam, seberat kira-kira 38 kilogram itu menggigit kaki anak keenam daripada tujuh beradik itu.

Katanya, mereka sekeluarga singgah di Zoo Melaka kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Apabila sampai di kawasan siamang itu, kami lihat ramai pengunjung dan saya mendukung Muhammad Afieq sambil diikuti lima anak lain serta isteri yang turut mendukung anak bongsu kami.

“Saya sangka siamang itu jinak kerana tiada papan tanda amaran atau petugas zoo berkawal di kawasan itu. Malah, haiwan itu kelihatan tidak bahaya dan melompat-lompat sambil mengejar pengunjung lain sebelum dia berhenti seketika.

“Ia kemudian berada di kiri saya dan tiba-tiba terus berpusing. Saya tak perasan pada mulanya, namun isteri menjerit kuat mengatakan kaki anak kami digigit dan serentak itu anak menangis kuat,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka kira-kira jam 1 pagi, semalam.

Kamarul berkata, serentak itu dia memegang kepala siamang itu dan cuba mengerak-gerakannya, namun haiwan itu enggan melepaskan gigitannya.

“Saya yang terperanjat jadi panik dan tidak berani menyentap kepala siamang itu kerana bimbang luka pada betis anak lebih parah. Seorang pengunjung lelaki pantas menyepak badan siamang itu hingga gigitannya tercabut dan saya terus mencampaknnya sekuat hati.

“Dalam keadaan anak menangis dan darah keluar dengan banyak hingga mengenai baju dan seluar, saya berlari ke arah kaunter tiket sejauh kira-kira 1.5 atau dua kilometer untuk mendapatkan bantuan sambil menjerit meminta pengunjung ke pejabat pentadbiran.

“Petugas zoo muncul memberi bantuan dengan mencuci dan membalut luka anak saya sebelum kami dibawa ke klinik kesihatan berdekatan,” katanya yang tinggal di Taman Seri Andalas, Klang, Selangor.

Menurutnya, dia kesal kerana mendakwa tiada petugas zoo di tempat haiwan itu untuk memberi sebarang bantuan kepada pengunjung ketika kecemasan.

“Sewajarnya ada petugas di setiap lokasi haiwan berkenaan supaya mudah orang ramai yang mengalami kecemasan mendapatkan bantuan. Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada pihak zoo yang membantu membawa anak ke klinik kesihatan dan seterusnya ke HM untuk rawatan,” katanya.

Menurutnya, setiba di wad kecemasan, anaknya diperiksa dan dirawat doktor sebelum menjalani pembedahan selama tiga jam bermula jam 9 pagi dikendalikan pakar bedah tulang dan pakar bius.

“Alhamdulillah anak saya makin sembuh dan doktor memberitahu dia perlu rawatan susulan setiap hari sehingga benar-benar sembuh. “Selepas itu anak saya perlu menjalani fisiotrapi supaya dapat berjalan seperti sedia kala,” katanya yang merancang memindahkan anaknya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Sementara itu, isterinya, Anita Leman, 35, berkata kejadian itu menyebabkan mereka sekeluarga mengalami trauma yang teruk.

“Sampai tujuh keturunan saya tidak akan bawa anak ke mana-mana zoo,” katanya.

Sumber : myMetro

Zoo perlu siasatan terperinci

MELAKA: Pengurusan Zoo Melaka diarah menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian seekor siamang seberat 38 kilogram menyerang dua kanak-kanak sehingga seorang daripadanya parah Selasa lalu bagi mengelak insiden sama berulang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, kerajaan negeri memandang serius kejadian pertama kali berlaku itu dan mahu pengurusan zoo mempertingkatkan tahap keselamatan termasuk mengkaji semula spesifikasi kawasan habitat haiwan itu.

“Difahamkan haiwan berkenaan tidak mungkin boleh melepasi kolam yang mengelilingi kawasan menempatkannya, namun ada yang mendakwa ia berlari keluar dari situ.

Saya sudah minta Zoo Melaka melihat semula spesifikasi kolam dan habitat siamang itu, kemungkinan perlu diperbesarkan di samping mengkaji landskap lokasi bagi mengelak kejadian berulang,” katanya selepas melawat Muhammad Afieq Haziq Kamarul Baharin, 3, yang menjalani pembedahan tiga jam di Hospital Melaka selepas kaki kanannya digigit siamang di zoo itu.

Betis Muhammad Afieq dari Taman Andalas, Klang, Selangor parah digigit hingga menampakkan tulang ketika mengunjungi Zoo Melaka bersama keluarganya jam 2.30 petang, Selasa lalu.

Difahamkan kejadian berlaku selang 15 minit selepas haiwan sama menggigit kaki kanan seorang kanak-kanak perempuan, Nurul Zukrina Abdul Hadi, 5, yang berkunjung ke zoo itu sempena cuti sekolah bersama keluarganya dari Pekan, Pahang.

Turut serta dalam lawatan itu Pengerusi Kesihatan, Pembangunan Bandar Kecil, Pemulihan Projek dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Seet Har Cheow dan Pengarah Zoo Melaka, Ahmad Azhar Mohammed selain ibu bapa mangsa, Kamarul Bahrin Othman dan Anita Leman.

Mohd Ali berkata, beliau tidak menolak kejadian malang yang menimpa Muhammad Afiq menjejaskan imej Zoo Melaka hingga menyebabkan orang ramai enggan mengunjunginya dalam tempoh terdekat ini.

“Namun saya yakin keyakinan orang ramai, terutama ibu bapa akan pulih seiring dengan peningkatan tahap keselamatan dilaksanakan pengurusan zoo,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Azhar berkata, punca sebenar insiden itu belum dikenal pasti kerana masih dalam siasatan.

Katanya, pengurusan zoo sentiasa mengamalkan langkah keselamatan termasuk memastikan pokok dicantas supaya ia tidak bersambung dengan pokok lain dan air sentiasa ada dalam kolam yang mengelilingi kawasan menempatkan haiwan itu agar tidak terlepas.

Sumber : myMetro

DITERKAM...rakaman menunjukkan siamang menerkam seorang budak sebelum menggigit Muhammad Afieq di Zoo Melaka.

SAKIT...Muhammad Afieq menahan sakit sambil ditemani Anita di hospital, semalam.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...