17 July 2012

Peranan Komunikasi Kepemimpinan Diri Dan Organisasi Dalam Perspektif Islam

Kepemimpinan ialah kebolehan mempengaruhi pengikut dan melibatkan penggunaan kuasa oleh pemimpin dan penerimaan pengikut. Kebolehan mempengaruhi pengikut berhubung kait dengan memenuhi keinginan kepuasan pengikut (Daft, 2004). Kini pemimpin tidak boleh dicap lagi sebagai seorang pemimpin yang baik atau tidak baik, tetapi kita hanya dapat mengatakan seseorang pemimpin itu berkesan dalam satu-satu situasi tertentu, tetapi tidak berkesan dalam situasi yang lain. Keberkesanan kepemimpinan juga dicadangkan boleh dipertingkatkan dengan cara sama ada dengan memodifikasi faktor situasi supaya menjadi lebih selesa atau mengubah stail kepemimpinan pemimpin. 
Kekuatan kepemimpinan Rasulullah s.a.w. telah berupaya untuk membina empayar yang luas dan berkait rapat dengan isu-isu kehidupan dan organisasi. Rosabeth Moss Canter, seorang penulis The Change Masters menyatakan untuk mahir dengan cabaran di masa depan, 3C (konsep, kebolehan, dan komunikasi) adalah penting. Pada 400 tahun lalu. Nabi Muhammad S.A.W. telah pun menggunakan strategi itu. Seorang pemimpin juga merupakan agen perubahan dan dipenuhi dengan sifat berkorban, tidak mementingkan diri sendiri dan segala kelebihan yang ada pada Rasulullah s.a.w. Peribadi dan personaliti menjadi panduan yang berharga dalam kepemimpinan masa itu (Ismail Noor, 1999). 
Oleh yang demikian, dapatlah dirumuskan bahawa Islam menekankan ciri-ciri kekuatan fizikal dan spiritual secara bersepadu, akhlak yang mulia, kemahiran, ilmu pengetahuan dan komitmen yang tinggi untuk menjadi seorang pemimpin yang berwibawa. Justeru itu, bahawa individu yang bergelar pemimpin berwibawa itu merupakan seorang insan yang memiliki sifat keistimewaan yang tidak dimiliki oleh orang lain dalam sesuatu kelompok. Kewibawaan yang dimiliki akan membantu seseorang pemimpin itu dalam memimpin keluarga, masyarakat, dan negara dengan lebih berkesan dan sempurna. Sebagaimana yang telah ditegaskan, kewibawaan merupakan satu asas penting yang membolehkan seseorang pemimpin mewujudkan suasana kerja yang kondusif serta memupuk motivasi ahli-ahli organisasi dalam melaksanakan amanah yang diberikan. Sesuatu kemahiran dalam apa jua bidang yang dimiliki oleh seseorang pemimpin akan memantapkan lagi kewibawaanya. Jadi, kemahiran pengurusan yang dimiliki oleh seseorang pemimpin akan memantapkan lagi kewibawaannya dalam mentadbir dan menguruskan organisasi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...