17 August 2012

Kontraktor di Putrajaya main-main


PUTRAJAYA - Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat semalam menyuarakan rasa kurang berpuas hati dengan kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan oleh kontraktor di Putrajaya. Beliau menegur kontraktor-kontraktor yang diberi kepercayaan menjaga kebersihan serta kecantikan Wilayah Persekutuan itu supaya lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka. Katanya, kerja yang dilaksanakan sesetengah kontraktor seperti khidmat menyelenggara kebersihan dan kecantikan pokok di tepi jalan, pengurusan sampah, taman, tasik, longkang, tandas awam dan papan tanda jalan kurang memuaskan. "Saya ada mengambil lebih 200 gambar mengenai keadaan kebersihan dan kecantikan. Pokok-pokok tak dipangkas, lantai berlumut, sampah di merata tempat, tandas kotor. Maknanya tidak ada penyelia mengawasi apa yang dilakukan oleh pekerja. "Kalau depan mata saya nampak tak bersih dan cantik, macam mana nak pastikan seluruh Putrajaya ini cantik, indah dan bersih. Budaya penyelenggaraan perlu dititikberatkan," katanya dalam satu majlis perjumpaan dengan para kontraktor di sini semalam. Difahamkan Perbadanan Putrajaya membelanjakan RM179 juta setahun bagi membiayai kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan awam di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu. Ini termasuk kerja penyelenggaraan taman-taman awam, jalan raya, tandas awam, kutipan sampah dan sebagainya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...